AGENDANASIONAL

Kadar pengangguran suku ketiga kekal 3.3 peratus

PUTRAJAYA, 11 NOV: Kadar pengangguran pada suku ketiga 2019 kekal pada 3.3 peratus berbanding suku kedua 2019, kata Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mengulas penerbitan Laporan Survei Tenaga Buruh Malaysia Suku Ketiga 2019 hari ini, Mohd Uzir berkata tenaga buruh dan penduduk bekerja dalam suku ketiga 2019 di Malaysia masing-masing mencatatkan pertumbuhan 1.9 peratus dan 2.1 peratus kepada 15.67 juta orang dan 15.16 juta orang berbanding suku ketiga 2018.

“Perbandingan suku tahun ke suku tahun pula menunjukkan tenaga buruh dan penduduk bekerja meningkat masing-masing 0.5 peratus dan 0.6 peratus berbanding suku tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Uzir berkata, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) iaitu kadar penduduk bekerja kepada jumlah penduduk dalam umur bekerja pada suku ketiga naik 0.1 peratus berbanding suku kedua kepada 68.9 peratus.

Menurutnya, KPTB perempuan mencatatkan kenaikan 0.2 peratus kepada 56 peratus berbanding suku tahun 2018.

Katanya KPTB lelaki pula meningkat 0.1 mata peratus kepada 80.9 peratus pada suku ketiga 2019 berbanding suku tahun sebelumnya.

“Kumpulan umur yang mencatatkan KPTB melebihi 90 peratus ialah 25-34 tahun (94.2 peratus), 35-44 tahun (97.6 peratus) dan 45-54 tahun (93.9 peratus),” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata pada suku ketiga tahun ini, komposisi penduduk bekerja yang berpendidikan tertiari meningkat 1.3 mata peratus kepada 29.9 peratus berbanding 28.6 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Maklumat terperinci mengenai laporan itu boleh diakses melalui aplikasi eStatistik di laman web Jabatan Perangkaan Malaysia, www.dosm.gov.my.

– BERNAMA


Pengarang :