Ustaz Abdul Somad sedang memberi tazkirah ketika Program Usrah Perdana sentuhan Nurani di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Shah Alam pada 17 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kahwin: Wali tidak boleh buat keputusan semborono

SHAH ALAM, 17 NOV: Perbincangan secara bersemuka menjadi antara pendekatan paling penting dalam hal perkahwinan supaya segala percanggahan yang timbul dapat diselesaikan dalam suasana harmoni dan terkawal.

Penceramah Indonesia, Abdul Somad Batubara menjelaskan, walaupun wali kepada anak perempuan boleh memaksa puterinya berkahwin, namun perbincangan itu perlu berlaku antara kedua-dua belah pihak bagi mencapai kata sepakat.

Tanpa perlu mendesak, katanya, anak perempuan berhak memilih pasangan masing-masing dalam membina mahligai kerana perkahwinan itu bertujuan menyatukan dan bukan untuk memisahkan.

Dato’ Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (tengah, belakang) bersama Ustaz Abdul Somad (tengah, depan) bersalaman bersama tetamu ketika Program Usrah Perdana Sentuhan Nurani di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Shah Alam pada 17 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Paling baik tak paksakan (anak perempuan), tetapi bermesyuarat kerana dalam al-Quran sendiri ada menyebut “hendaklah bermesyuarat bapa dan bonda dengan anak(sebelum berkahwin)”

“Apabila ada anak lelaki yang datang meminang anak (perempuan) kamu, dua aspek harus dinilai iaitu agama dan akhlak. Kalau kedua-duanya ada pada dia (lelaki) maka nikahkan mereka, tetapi kalau lelaki itu seorang yang fakir, mudah-mudahan Allah SWT bagi dia kaya-raya.

“Semoga Allah SWT memberikan kita kelapangan hati untuk bermesyuarat,” katanya pada Usrah Perdana: Sentuhan Nurani Rahmatan Lil Alamin, di Dewan Megawati Kediaman Rasmi Menteri Besar, Seksyen 7, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Ustaz Abdul Somad menjawab pertanyaan berkaitan isu masyarakat masa kini yang mengahwinkan anak perempuan mereka dengan pilihan ibu bapa sehingga timbul konflik perkahwinan di kemudian hari.

Katanya, dalam feqah Mazhab Syafie, wali boleh memaksa anaknya untuk dikahwinkan secara paksa yang dikenali sebagai wali Mujbir.

“Dalam hadis Islam terdapat enam wali antaranya datuk, abang, adik lelaki, abang ayah dan adik ayah, tetapi dalam kalangan enam wali ini ada dua nama iaitu ayah serta datuk yang boleh menjadi wali Mujbir, selain boleh memaksa perkahwinan anak perempuan.

“Berdasarkan Imam al-Khatib Syirbini dalam kitabnya yang terkenal menghuraikan beberapa syarat wali Mujbir iaitu tidak ada persengketaan, pernikahan sekufu (setara pengantin lelaki dan wanita), bukan lelaki yang memudaratkan anak, tidak dalam ihram haji atau umrah dan lelaki mampu membayar mahar,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 800 muslimin dan muslimat berpeluang mendengar usrah disampaikan pendakwah terkenal itu di bawah penganjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS).

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan isteri merangkap Yang DiPertua PEKAWANIS, Masdiana Muhamad.


Pengarang :