AGENDANASIONAL

Kaji semula bidang kuasa IPCMC, elak ketidakadilan

KUALA TERENGGANU, 16 NOV: Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) disaran membuat kajian semula terhadap bidang kuasa mereka bagi mewujudkan sistem yang lebih lengkap dan mengelak berlaku penipuan.

IPCMC dikatakan bukan sahaja mempunyai kuasa penuh bermula daripada menerima aduan hinggalah pendakwaan, tetapi ia juga berperanan menjatuhkan hukuman.

Saranan itu dinyatakan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Datuk Othman Nayan ketika prosiding sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang IPCMC di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Klausa yang ditetapkan untuk suruhanjaya itu juga dilihat agak berbeza dengan amalan perundangan dalam kebanyakan negara demokrasi yang membuat pengasingan kuasa dan tiada kuasa mutlak selepas menerima aduan.

“Kalau dilihat daripada klausa yang dinyatakan, ia bermula daripada menerima aduan kesalahan, kuasa penyiasatan, prosiding salah laku dan hukuman serta proses pendakwaan. Ia merupakan kitaran lengkap dalam siri mana-mana penyiasatan.

“Tetapi persoalan saya di sini ialah tentang fungsi ini yang keseluruhannya diambil peranan seratus peratus oleh satu badan sahaja iaitu IPCMC,” katanya dalam prosiding itu, yang turut disaksikan lebih 500 anggota polis dari Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Pengasingan kuasa perlu dibuat bagi mengelak berlaku penipuan dan penyalahgunaan kuasa serta mengelak anggota polis berdepan dengan tindakan yang tidak adil.

Othman berkata, pengasingan itu juga membuka ruang kepada siasatan yang berbentuk sistem semak dan imbang bagi setiap jawatankuasa, malah ia menjamin kebebasan serta hak polis yang dihadapkan ke IPCMC.

“Kaji semula dan semak khususnya untuk elak penipuan kuasa ini kerana ia akan menafikan keadilan dan bercanggah dengan amalan sedia ada. IPCMC boleh memain peranan menerima aduan, memproses maklumat yang ada dan menjalankan siasatan tetapi tidaklah sehingga menjalankan pendakwaan dan menetapkan hukuman.

“Berilah peranan ini kepada badan lain atau pihak kuasa lain untuk menentukan proses pendakwaan dan ini akan memberi jaminan untuk mendapatkan keadilan bagi semua pihak,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media Pengerusi IPCMC, Ramkarpal Singh berkata, sesi pendengaran itu adalah yang terakhir dilakukan sebelum mengemukakan syor ke Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang dijangka tidak lewat daripada 25 November.

Katanya, jawatankuasa itu pernah mengadakan empat sesi lain iaitu di Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Sabah, bagi mendapatkan maklum balas pihak-pihak berkepentingan dan orang awam berkaitan rang undang-undang IPCMC 2019.

“Tujuan rang undang-undang ini bukan untuk nyatakan imej polis adalah tidak baik tetapi ia boleh mempertingkatkan lagi imej polis… dengan pindaan yang akan dicadangkan, saya yakin ia akan memanfaatkan polis pada masa hadapan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :