Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Kaji semula rancangan pembangunan hutan Bukit Cerakah – ADN

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri perlu mengkaji semula perancangan pembangunan melibatkan agensi dan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri ke atas kawasan hutan di Bukit Cerakah.

Ahli Dewan Negeri, Najwan Halimi berkata, kajian itu perlu ekoran timbul desas-desus kononnya wujud rancangan pembangunan melibatkan kawasan hutan berkenaan.

“Justeru sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan mengutamakan kelestarian alam, saya memohon kajian ini dibuat bagi menangkis tohmahan liar.

“Ini kerana sejak awal Kerajaan Negeri menekankan aspek memelihara dan memulihara hutan simpan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perbahasan rang undang-undang enakmen perbekalan 2020 pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Najwan berkata, beliau menyambut baik pengumuman peruntukan serta inisiatif khusus dalam menyokong usaha menjamin kelestarian alam sekitar seperti pemasangan panel solar, program tanam pokok dalam bandar serta pelaksanaan konsep taman dalam bandar.

“Kesemua ini amat dialu-alukan namun demikian pada masa sama adalah mustahak untuk Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada usaha memulihara serta mengekalkan sebahagian kawasan hutan yang masih wujud di negeri ini,” katanya.


Pengarang :