AGENDANASIONAL

Kajian ganti hukuman mati dijangka siap awal tahun depan

KOTA BHARU, 28 NOV: Kajian hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori dijangka siap selewat-lewatnya penghujung Januari tahun depan.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang juga mengetuai Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori berkata, hingga kini terdapat pelbagai dapatan pendapat mengenai perkara ini daripada orang ramai.

“Jika di Kota Kinabalu baru-baru ini, kita mendapati pelbagai pendapat orang ramai mengenai hukuman ini termasuk ada setengah pihak yang merasa ia patut dikekalkan, ada juga mengatakan perlu dihapuskan dan juga menggantikan dengan hukuman lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Sesi Dialog Awam Kajian Cadangan Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini yang merupakan negeri terakhir bagi sesi dialog awam mengenai kajian ini.

Beliau berkata, pihaknya perlu membuat analisis serta justifikasi mengenai alternatif untuk menggantikan hukuman ini sebelum keputusan dibuat oleh kerajaan.

“Kami akan kumpul semua pendapat untuk dianalisis dan akan dimasukkan dalam rekomendasi yang akan dibentangkan kepada Kabinet untuk keputusan muktamad mengenai hukuman ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan pada 29 Ogos lalu, kerajaan bersetuju supaya Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori ditubuhkan untuk mengkaji secara keseluruhan dasar penghukuman bagi menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman yang lebih wajar, tertakluk kepada budi bicara Mahkamah.

Selain Richard, sembilan ahli lain dilantik menganggotai jawatankuasa itu terdiri daripada pakar perundangan seperti bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, bekas Peguam Kanan Persekutuan, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada universiti awam dan pakar kajian jenayah.

– BERNAMA


Pengarang :