AGENDANASIONAL

Kajian semula akta data peribadi rangkumi aktiviti penggodam

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Kajian semula Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) yang sedang dijalankan akan mengambil kira supaya undang-undang terpakai bukan hanya terhadap pembocor maklumat tetapi juga penerima data itu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, ia juga akan merangkumi tindakan ke atas aktiviti penggodam rentas sempadan melalui kerjasama dengan negara ASEAN lain bagi menangani masalah kebocoran data.

Beliau berkata, kajian semula akta itu serta akta berkaitan bertujuan menambah baik dan memantapkan lagi langkah menangani kebocoran data peribadi di negara ini, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa serta perkembangan semasa selain mengambil kira perkembangan teknologi digital dan e-dagang.

“Pada masa ini, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang dalam proses membuat kajian semula akta ini bagi memastikan kebocoran data tidak berterusan dan apabila ia berlaku pun, kita boleh dengan segera memulihkan dan menghalangnya daripada terus berlaku,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PH-Beluran) yang meminta kementerian menyatakan langkah diambil bagi menangani insiden kebocoran data peribadi dan sejauh mana keberkesanan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dalam menangani masalah itu.

Gobind berkata, pihaknya juga sedang mendapatkan pandangan pelbagai pihak dalam kajian semula akta tersebut.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 12 individu telah diambil tindakan kerana kesalahan melanggar akta tersebut sejak 2017 sehingga 31 Oktobder lepas.

Katanya, ia termasuk lima individu yang telah didakwa di mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM54,000 dan tujuh lagi telah dikompaun dengan jumlah RM80,000.

Gobind berkata, akta yang berkuat kuasa 15 Novenber 2013 itu mewajibkan pendaftaran pengguna data yang tergolong di bawah 13 golongan pengguna data sebagai satu daripada mekanisme pematuhan di dalam pelaksanaannya.

Selain itu, katanya, JPDP juga telah mengeluarkan Standard Perlindungan Data Peribadi (PDP) yang menetapkan kehendak minimum yang perlu dipatuhi oleh pengguna data iaitu standard keselamatan, penyimpanan dan integriti data.

Sementara itu, Gobind berkata, kerajaan juga menguatkuasakan peruntukan Arahan 24 Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mewajibkan semua agensi kerajaan dan organisasi yang dikenal pasti sebagai Infrastruktur Maklumat Kritikal Nasional termasuk syarikat telekomunikasi untuk mematuhi Standard ISO 27001: Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat.

Katanya, arahan yang menekankan Kerahsiaan, Integriti dan Kebolehsediaan (CIA) terhadap sistem maklumat itu bagi memastikan semua agensi dan organisasi kritikal negara mencapai tahap keselamatan tertinggi dalam melindungi data daripada dicerobohi.

Selain itu, katanya, Kod Amalan Am Pengguna bagi Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut menekankan aspek keselamatan data supaya penyedia perkhidmatan dapat mengambil langkah yang ketat untuk memastikan perlindungan data peribadi pengguna berada di tahap tinggi.

– BERNAMA


Pengarang :