AGENSISELANGOR

Karnival 3R MBSA pupuk amalan kitar semula

SHAH ALAM, 17 NOV: Karnival 3R (Mengurangkan, Guna Semula, Kitar Semula) anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dilihat mampu memupuk amalan kitar semula dalam kehidupan seharian.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, karnival dianjurkan di Dewan Beringin Seksyen 24 fi di sini, hari ini, diadakan bertepatan dengan Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan yang disambut setiap tahun pada 11 November.

Katanya, program itu diadakan bertujuan memberi pendidikan dan pendedahan secara meluas dalam kalangan warga Shah Alam khususnya komuniti setempat berkenaan kepentingan 3R dalam memelihara dan memulihara alam sekitar.

“Program ini juga sebagai landasan MBSA untuk mempromosi amalan 3R dan menggalakkan masyarakat untuk mengamalkannya dalam kehidupan seharian terutamanya ketika menguruskan sisa pepejal.

“Pada masa sama, ia juga memberi ruang kepada MBSA, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain yang aktif dalam pelaksanaan 3R untuk membina rangkaian hubungan dua hala dengan masyarakat selain memperkenalkan promosi program ini yang sesuai mengikut keperluan mereka,” katanya.

Turut hadir merasmikan majlis, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan.

Sejumlah 20 pempamer daripada Jabatan Dalaman MBSA, agensi kerajaan dan swasta, NGO serta syarikat persendirian berkaitan dengan pengurusan sisa dan kitar semula menyertai karnival itu, antaranya Pertubuhan Amal Sri Sinar, Life Line Clothing Sdn Bhd, Worldwide Holidngs Berhad, Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknolgi Mara dan Universiti Selangor.

Pelbagai aktiviti menarik dilaksanakan bagi menarik penyertaan orang awam antaranya pertandingan rekacipta arca kitar semula, pertandingan peragaan pakaian kitar semula kanak-kanak, kaunter belian barangan kitar semula dan Mini Eco Free Market.

Bermula pada 2007 hingga kini, MBSA melaksanakan pelbagai program 3R dengan menyediakan kemudahan pusat kitar semula di kawasan kediaman penduduk, kempen kitar semula peringkat sekolah dan agensi kerajaan bertujuan memperkasakan amalan itu khusus di Shah Alam.

Melalui pelaksanaan program itu, MBSA optimis dapat memupuk amalan kitar semula dan rasa menghargai alam sekitar daripada peringkat awal kanak-kanak hingga dewasa secara tidak langsung menjadi budaya dalam kehidupan harian mereka.


Pengarang :