PBT SELANGOR

Karnival Alam Sekitar sedia pelbagai aktiviti menarik

SHAH ALAM, 15 NOV: Pelbagai aktiviti menarik menanti warga Selangor sempena Karnival Alam Sekitar dan Kepenggunaan anjuran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bermula 7 pagi hingga 11 malam, esok.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata karnival yang berlangsung di Padang Awam, Dataran Setia, Tasik Biru Kundang itu menyediakan pertandingan Plogging: ‘Trash To Cash’ yang dibuka kepada pengunjung.

“Kaunter pendaftaran pertandingan ini akan dibuka seawal 7.30 pagi dan 300 pendaftaran terawal berpeluang mendapat baju-t secara percuma.

“Selain itu, akan diadakan pertandingan mewarna (kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun), pertandingan mural tong MGB (kategori remaja dan terbuka), sukaneka alam sekitar dan sukan rakyat (kategori terbuka berkumpulan).

“Pengunjung juga berpeluang mendengar taklimat kepenggunaan, pertandingan pidato dan nyanyian alam sekitar oleh pelajar dari sekolah sekitar Kuang serta Kundang,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zin berkata pelbagai pameran daripada agensi kerajaan turut diadakan pada karnival yang dijangka dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

“Sebanyak 50 cabutan bertuah disediakan untuk pengunjung dengan menawarkan hadiah menarik, manakala pada sebelah malam akan dimeriahkan dengan pertandingan akhir karaoke, persembahan muzik ‘unplugged’ dan acara penyampaian hadiah,” katanya.

Katanya penganjuran karnival seumpama itu diharap mencapai matlamat dalam membentuk budaya masyarakat lebih prihatin terhadap penjagaan kebersihan alam sekitar dan amalan kitar semula serta hak kepenggunaan, selain mengukuhkan ikatan kekeluargaan.


Pengarang :