Khairuddin Othman bersama tetamu jemputan melihat pertunjukan kereta pada Majlis Perasmian Karnival Selangor Youth SYR 2019 di Pekarangan Stadium Melawati Shah Alam, Shah Alam. 2 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Karnival SYR bakal jadi acara tahunan

SHAH ALAM, 2 NOV: Karnival Selangor Youth Revival (SYR) 2019 bakal dijadikan acara tahunan, kata EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata, karnival yang julung kali diadakan tahun ini menerima sambutan cukup memberangsangkan terutama daripada golongan belia.

Katanya, karnival itu adalah acara terbesar untuk kumpulan belia di Selangor membabitkan elemen sukan, hiburan dan rekreasi.

“Karnival ini bersandarkan kepada 10 teras belia di Selangor yang tidak hanya memfokuskan kepada aktiviti sukan sebaliknya kita gabungkan pelbagai acara dalam satu program seperti mengumpulkan golongan belia Indie.

“Malah, tujuan Kerajaan Negeri anjurkan karnival ini supaya kita dapat berfikir secara inklusif dan tidak hanya memberi fokus pada golongan tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Perasmian Karnival Selangor Youth Revival 2019 di Perkarangan Stadium Malawati, di sini, hari ini.

Khairuddin berkata, menerusi karnival sedemikian, golongan belia akan berasa lebih dihargai apabila Kerajaan Negeri khususnya sudi mendekati mereka.

“Melalui acara sebegini sudah pasti mereka akan rasa lebih dihargai,” katanya.

SYR 2019 yang diadakan dua hari bermula hari ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik khususnya membabitkan golongan belia.

Menariknya kali ini, kesemua ahli indie akan kembali bersatu termasuk kumpulan indie terkenal, Butterfigers untuk beraksi di Konsert SYR yang berlangsung pada malam tadi di Stadium Malawati.


Pengarang :