Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
PBTSELANGOR

KASUMA erat hubungan kakitangan MBSA

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 6 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Karnival Sukan Kakitangan (KASUMA) bagi memupuk dan mengeratkan semangat setia kawan pada 23 Mac hingga 2 November lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata program yang berlangsung secara berperingkat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini menjadi landasan memupuk budaya bersukan dalam kalangan kakitangan MBSA.

“Karnival yang mempertandingkan pelbagai acara itu diharap dapat menggalakan kakitangan untuk bersukan bagi meningkatkan kesedaran warga MBSA menjaga kesihatan dan kualiti kehidupan,” katanya dlaam kenyataan.

Katanya KASUMA mempertandingkan 13 acara sukan iaitu 10 jenis acara sukaneka dan Perbarisan Kontinjen yang dijalankan secara tiga fasa antaranya bola jaring, badminton, futsal, tenpin boling dan bola sepak.

Sementara itu, Shahrin berkata karnival berkenaan dijuari Kontinjen Cattleya yang memenangi wang tunai RM10,000.

“Tempat kedua dimenangi Kontinjen Caladenia (RM7,000), tempat ketiga Kontinjen Renantanda (RM5,000), keempat Kontinjen Mokara (RM3,000), kelima Kontinjen Vanda (RM2,000) dan keenam Kontinjen Aranda (RM1,000).

“Setiap nama kontinjen diberi berdasarkan nama spesis bunga anggerik yang sinonim dengan bandar raya Shah Alam,” katanya.

Majlis penutupan karnival itu disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim.


Pengarang :