Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disertai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyampaikan resolusi Konvesyen Alumni Malaysia Future Leaders School (MFLS) 2019 kepada wakil alumni, Syed Ahmad Nashril Syed Adnan (empat, kanan) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia pada 22 November 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KBS buat laporan polis siasat video penyokong Indonesia dipukul

BANGI, 22 NOV: Pejabat Menteri Belia dan Sukan hari ini membuat laporan polis bagi menyiasat kesahihan video yang dikatakan memaparkan penyokong bola sepak Indonesia dipukul oleh penyokong Malaysia selepas perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia, Selasa lepas.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya sedia maklum mengenai video yang tular di media sosial itu, dan laporan polis dibuat bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Bercakap kepada media selepas menghadiri Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School (MFLS) di sini hari ini, Syed Saddiq berkata, ia adalah komitmen kerajaan bagi memastikan keadilan ditegakkan meskipun jika pelakunya adalah rakyat Malaysia.

Beliau berkata, isu itu menjadi semakin serius apabila terdapat komen rakyat Indonesia di media sosial yang mengugut untuk membunuh pemain dan penyokong Malaysia yang datang ke negara itu untuk perlawanan bola sepak malam ini.

“Untuk makluman, pasukan bawah 18 tahun Malaysia bermain melawan pasukan Indonesia bawah 18 tahun, malam ini di Indonesia,” katanya.

Malaysia mengalahkan Indonesia 2-0 pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lepas.

Mengulas mengenai undian dalam talian yang menunjukkan beliau menduduki tempat ketiga menteri kabinet paling tidak popular, Syed Saddiq berkata: “Biarlah rakyat yang tentukan”.

Mengenai rombakan kabinet yang akan dilaksanakan, beliau berkata, ia adalah hak prerogatif Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan beliau akan menghormati “biar apapun yang terjadi”.

Mengulas mengenai cadangan UMNO untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, Syed Saddiq berkata, ia satu perkara yang tidak masuk akal untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bersama Umno dan PAS.

“Kita adalah sebahagian daripada Pakatan Harapan. Itu adalah gabungan yang telah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan kini akan memberi tumpuan untuk mengatasi pelbagai isu yang melingkari rakyat ketika ini seperti pekerjaan, perumahan serta kos sara hidup; dan perebutan kuasa hanya akan mengecewakan rakyat.

– BERNAMA


Pengarang :