Tabiat membuang barang merata-rata membabitkan semua kaum.
AGENSISELANGOR

KDEBWW kutip perabot terbuang secara percuma

KLANG, 3 NOV: Orang ramai diminta tidak membuang perabot rumah di tempat pembuangan sampah domestik, sebaliknya perkhidmatan kutip barang terbuang itu dibuat secara percuma oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM).

Ketua Perhubungan Awam dan Media KDEBWM, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, tindakan membuang perabot di tempat pembuangan sampah domestik menyukarkan kerja mengutip sampah dan lebih teruk apabila ia turut bercampur dengan sampah busuk.

“Memang kami dapati ada segelintir masyarakat yang membuang tilam, almari, mesin basuh, televisyen di tempat sampah domestik. Ini juga akan menyebabkan tempat pembuangan sampah penuh sehingga mendatangkan ketidakselesaan kepada orang lain.

“Oleh sebab itu, kami meminta sesiapa yang hendak membuang perabot atau alatan rumah, hubungi KDEBWM kerana perkhidmatan mengambil barang ini adalah percuma,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Program Clean Up Bagan Hailam anjuran KDEBWM dengan kerjasama strategik Malaysian Plastics Manufacturers Association (MPMA), Tzu Chi Malaysia dan Chevron Phillips Chemical Malaysia.

Program bertempat di Kampung Bagan Hailam Port Klang itu turut dianjurkan bagi mendidik komuniti setempat mengenai kepentingan membuang sampah secara teratur selain mengamalkan kitar semula.

Mengulas lanjut, Mahfuzah berkata, masyarakat di negara ini perlu memulakan tabiat mengitar semula sampah kerana ia mendatangkan hasil.

“Jika kita rajin sudah tentu banyak sampah-sampah dari rumah boleh dihantar ke tempat kitar semula dan lebih menarik ia memberi hasil pendapatan, walaupun sedikit tetapi mampu mendatangkan kesan baik dalam jangka masa panjang.

“Di Malaysia trend pembuangan sampah merata tempat sama dalam kalangan semua kaum, oleh itu kita sepatutnya menyahut seruan untuk kitar semula sampah dan sudah tentu ia harus bermula dari rumah,” katanya.


Pengarang :