BUDAYARENCANA

Keanehan yang membakar

Oleh Abang Median Abang Said

Kebakaran itu merupakan satu keanehan daripada benda yang juga aneh. Banyak perkara yang perlu dirungkaikan. Daripada dua puluh buah rumah yang terbakar, semua rumah itu mempunyai lukisan yang sama – lukisan tentang seorang gadis cantik yang sedang menangis. Matanya pula seperti memancarkan kehangatan yang tersembunyi dan misteri jika direnung secara mendalam. Biarpun menangis, mulut gadis itu seperti mengemam senyum persis mempersenda usaha memadam kebakaran tersebut. Apatah lagi, lukisan tersebut tidak dimakan api yang menjilat kayu dan konkrit tetapi meninggalkan helaian kanvas itu dalam keadaan yang sempurna.

Pegawai bertugas dipekup kekeliruan dan kebuntuan untuk membuat laporan tentang punca kebakaran tersebut. Tidak ada gas bocor, tidak ada litar pintas, minyak tumpah atau sebarang unsur khianat. Dia tidak sanggup membuat laporan yang kelakar: Kebakaran itu berpunca daripada lukisan yang aneh!

Kewibawaannya akan terbakar dengan laporan tersebut. Siapa yang mahu percaya? Laporan sedemikian pasti akan dipersenda. Tetapi dia tidak boleh menolak kebetulan tentang kehadiran lukisan itu di setiap rumah berkenaan. Lebih-lebih lagi, dua puluh lukisan yang sama dalam rumah yang berbeza tidak terbakar.

Namun, sebuah akhbar tempatan menongkah arus dengan menulis berita berkenaan secara spekulatif dan penuh sensasi. Wartawan itu dengan berani dan yakin mengatakan bahawa kebakaran itu berpunca daripada lukisan bertajuk Gadis Lara. Berita itu terus menjadi tular di media sosial. Ada yang cuba menokok tambah berita berkenaan. Youtuber yang bijak mengambil peluang telah mengupas lebih lanjut tentang lukisan tersebut hingga videonya menjadi trending.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan  menyarankan agar lukisan itu diklasifikasikan sebagai barangan berbahaya. Lukisan itu perlu diserahkan kepada pihak kerajaan untuk dimusnahkan. Pemilik lukisan yang tidak bekerjasama perlu dikenakan kompaun maksimum atau hukuman penjara mandatori.

Beberapa konflik timbul tentang kaedah yang digunakan untuk memusnahkan lukisan tersebut. Ada mencadangkan supaya lukisan itu dibakar. Tapi lukisan itu tidak terbakar dalam kebakaran yang baru sahaja berlaku. Lantas muncul pula idea untuk menanamnya. Bagaimanapun, kekhuatiran timbul jikalau lukisan itu menyebabkan tanah berkenaan terbakar terutama melibatkan tanah gambut. Masalah jerebu pasti akan menjadi isu nasional.

Wartawan yang menulis berita berkenaan telah digantung tugasan tanpa gaji kerana dikatakan menyebarkan berita palsu. Kesahihan bahawa lukisan berkenaan punca kebakaran itu berlaku masih belum dapat dipastikan. Wartawan yang kehilangan punca pendapatan itu mencari pelukis lukisan berkenaan. Pelukis itu bukan pelukis terkenal. Dia dikatakan berasal dari sebuah perkampungan kecil di Baram – sebuah pekan seluas negeri Pahang. Kampung itu hanya boleh dilalui dengan pengangkutan air hingga terpaksa meredah sungai yang deras dan melalui jeram yang ganas. Sesekali perahu itu perlu ditarik kerana air sungai yang cetek selain dikhuatiri perahu itu pecah terlanggar batu yang timbul di atas permukaan air.

Dia akhirnya berjumpa dengan lelaki yang melukis lukisan tersebut. Mata lelaki itu kuyu dengan jambang yang tumbuh secara tidak teratur. Penampilannya agak selekeh dengan baju yang tidak bercuci dan sedikit berbau. Lelaki itu tidak banyak bercakap seperti menanggung bebanan rasa yang sangat dalam. Sesekali hanya matanya yang berbicara dengan anggukan lemahnya dan bibir yang dikemam.

Pada mulanya, dia mengunci mulutnya untuk bercerita. Katanya, dia hanya bercerita melalui lukisan. Itulah gambaran yang terpancar melalui hasilan seninya. Namun wartawan itu bijak memujuk. Kata pelukis itu, semua lukisannya kurang berjaya kecuali lukisan bertajuk Gadis Lara yang turut mendapat tempahan hingga ke luar negara. Dia telah menghasilkan 50 lukisan yang sama untuk jualan.

“Lukisan itu berjaya kerana saya melukisnya dengan jiwa. Tangan dan jari digerakkan oleh perasaan. Apatah lagi minda. Semuanya bersatu di atas kanvas melalui permainan warna yang dipilih.”

Dia keluar dari kepompong kebisuannya tatkala bercerita tentang lukisan tersebut. Dia seperti baharu mendapat vitamin hingga wajahnya menjadi segar tatkala bercerita. Dia mengatakan bahawa gadis tersebut merupakan gadis berbangsa Kayan yang menjadi rebutan pemuda kampung. Wajah gadis tersebut seperti embun yang menyejukkan. Senyumannya boleh mencairkan hingga kebekuan mengalir seperti Sungai Baram. Kecantikan yang tidak mampu diungkap melalui kata-kata.

“Gadis itu daripada golongan Panyin iaitu golongan bawahan masyarakat Kayan. Lelaki itu pula daripada golongan Maren. Golongan Panyin dan Maren hidup dengan nafas yang berbeza kerana darjat.”

Ada getaran yang tertangkap di telinga tatkala pelukis itu mengungkapkan kata-kata. Namun wajahnya masih tidak meriakkan ekspresi.

“Lelaki itu dihantar oleh keluarganya belajar ke luar negara. Semuanya untuk menghalang hubungan tersebut. Sewaktu pemergiannya ke luar negara, gadis itu dituduh bersekedudukan dengan seorang pemuda kampung yang telah diupah oleh oleh keluarga lelaki berkenaan.”

Sambil bercerita, pemuda itu membuat lakaran wajah gadis itu di atas kanvas di tepi Sungai Baram. Ada keluhan yang tertahan. Ada menungan pada pandangan yang kosong.

“Gadis itu mati di dalam kebakaran. Ada mengatakan dia membakar dirinya di dalam rumah panjang. Ada juga mengatakan dia dibakar dalam rumah itu. Mayatnya dijumpai rentung dalam keadaan duduk bertinggung sambil memeluk lututnya.”

Wartawan itu tidak membuat sebarang catatan seperti selalu. Ada kesedihan berkelintar. Dia hanya melongo.

“Selepas peristiwa tersebut, kampung ini seperti menerima sumpahan. Hasil tanaman tidak menjadi. Hujan tidak pernah turun biarpun di kampung sebelah hujan mencurah setiap hari. Tanah pun kering sehingga pada satu ketika, banyak kebun penduduk kampung terbakar. Aku benar-benar merasai kesedihan gadis tersebut hingga aku terjemahkannya dalam bentuk lukisan.”

Lelaki itu berdiri, berjalan laju-laju tanpa pamit meninggalkan wartawan itu dalam keterpingaan. Keanehan masih bergantungan. Benarkah lukisan itu menyebabkan kebakaran? Persoalan itu masih tidak berjawab.

Keesokan paginya, wartawan itu melihat lelaki tersebut di sebuah tapak rumah yang terbakar. Lelaki itu tidak membawa kanvas dan peralatan lukisan seperti selalu.

“Setiap hari aku di sini. Aku seperti melihat kemanusiaan yang terbakar. Aku melihat cinta yang rentung… hati yang hancur. Pada mulanya aku tidak sedar. Setiap kali aku melukis wajah gadis tersebut, lukisan itu akan terbakar. Dia seperti tidak mahu aku menyimpan wajahnya. Sungguh, aku kesal lahir sebagai golongan Maren.”

Itulah kali terakhir lelaki itu dilihat di kampung tersebut. Rupa-rupanya dialah lelaki yang melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam Jurusan Seni Halus. Wartawan itu teruja untuk menerbitkan buku tentang kisah cinta tragis dan misteri di sebalik lukisan tersebut setelah mendapat maklumat tentangnya. Namun, sewaktu buku itu dicetak, diniharinya kilang percetakan itu didapati hangus dijilat api…


Pengarang :