KKMM melalui MDEC membantu pekerja industri media menambah kemahiran baharu. Foto Facebook KKMM
AGENDANASIONAL

Kebocoran data peribadi masih disiasat – KKMM

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang bekerjasama dengan Cybersecurity Malaysia daripada aspek kepakaran digital forensik bagi menyiasat kes kebocoran data peribadi melibatkan syarikat Nuemera Sdn Bhd.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, siasatan itu bagi melihat sama ada kebocoran itu berlaku disebabkan perbuatan khianat oleh kakitangan dalaman atau faktor luaran seperti aktiviti menggodam.

“Langkah ini adalah bagi mengurangkan risiko kebocoran data pada masa hadapan, di samping menekankan aspek keselamatan pengguna melalui Akta Perlindungan Data Peribadi serta mengawal selia pemprosesan data peribadi,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi kementerian berkenaan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Pada Oktober lalu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam jawapan bertulis menjelaskan, kerajaan telah menamatkan kontrak dengan Nuemera (M) Sdn Bhd, susulan kegagalan syarikat itu menjamin keselamatan data peribadi milik 46.2 juta pengguna perkhidmatan telekomunikasi, sehingga maklumat itu bocor.

Menurut KKMM, siasatan jenayah berhubung perkara itu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

– BERNAMA


Pengarang :