AGENDANASIONAL

Kejadian samun tiada kaitan perlawanan bola sepak

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Polis percaya kejadian samun dan pukul membabitkan seorang lelaki warga Indonesia di Bukit Bintang di sini, pada 19 November lalu, tidak mempunyai kaitan dengan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kes berkenaan diklasifikasi sebagai kes samun memandangkan mangsa iaitu Fuad Naji kehilangan pasport dan sejumlah wang.

Katanya polis menerima laporan daripada Fuad yang memaklumkan telah dipukul serta disamun sekumpulan lelaki di kawasan berkenaan pukul 2 pagi.

“Satu kertas siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan telah dibuka dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang mengesan lelaki warga Indonesia itu kerana pegawai penyiasat tidak dapat merekod kenyataan daripada beliau pada hari kejadian.

“Mangsa (Fuad) terus menghilangkan diri setelah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan sebaik selesai membuat laporan di Pondok Polis Hospital.

“Usaha mengesan Fuad di hotel juga menemui jalan buntu dan polis menggesa agar beliau serta rakan yang menjadi mangsa tampil membantu siasatan,” katanya.

Huzir berkata polis akan memohon kerjasama Kedutaan Indonesia untuk memaklumkan kepada Fuad tentang perkara itu.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sedang mengenal pasti individu yang merakam serta menyebarkan rakaman video tular yang dikatakan menunjukkan beberapa warga Indonesia dipukul.

“Mana-mana individu atau saksi yang mempunyai maklumat berkenaan insiden itu juga diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Baru-baru ini, satu video berdurasi kira-kira 48 saat tular di media sosial memaparkan beberapa individu dipercayai warga Indonesia dicederakan oleh beberapa warga Malaysia, yang didakwa ada kaitan dengan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

-BERNAMA


Pengarang :