Dato’ Mohd Sayuthi Bakar bersama penaja Kejohanan Tenis Remaja Terbuka Antarabangsa Genting-Selangor 2019 bergambar selepas sidang media di Ibu Pejabat MPPJ pada 15 November 2019. Foto Ihsan MPPJ
AGENSISELANGOR

Kejohanan tenis antarabangsa cungkil bakat baharu

PETALING JAYA, 15 NOV: Seramai 224 pemain dalam dan luar negara akan berentap bagi merebut Kejohanan Tenis Remaja Terbuka Antarabangsa Genting-Selangor 2019 edisi ke 17.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, selain Malaysia, negara lain yang turut menyertai kejohanan anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu ialah Filipina, Singapura, Vietnam, Indonesia, Uzbekistan dan Tajikistan.

Katanya, kejohanan itu akan diadakan di empat lokasi iaitu di Kompleks Sukan MBPJ (Kelana Jaya), Gelanggang Tenis SS 3/14 (Kelana Jaya), Kompleks Sukan PKNS (Kelana Jaya), dan Kompleks Sukan Astaka Petaling Jaya.

“Pembabitan peserta dari luar negara akan meningkatkan lagi kemahiran dan mutu permainan peserta tempatan selain menambah pengalaman dalam menyertai kejohanan peringkat antarabangsa.

“Hasil kerjasama dengan Persatuan Tenis Selangor, MBPJ berjaya mencungkil ramai bakat baharu menerusi program pembangunan sukan tenis remaja MBPJ yang dilakukan sejak tahun 1990,” katanya pada sidang media semalam.

Mohd Sayuthi berkata, sebanyak empat acara akan dipertandingkan iaitu perseorangan lelaki, perseorangan perempuan, beregu lelaki, dan beregu perempuan.

Kejohanan yang bakal berlangsung pada 23 hingga 27 November itu turut mendapat sokongan daripada Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dan Unit Sukan, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Kejohanan berkenaan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,600 beserta medal dan sijil penyertaan.


Pengarang :