Timbalan Presiden Pakatan Harapan Mohamad Sabu. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kekalahan Tanjung Piai tidak lemah semangat PAKATAN

SHAH ALAM, 17 NOV: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, semalam, tidak melemahkan semangat Pakatan Harapan (PAKATAN), kata Mohamad Sabu.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata, kekalahan PAKATAN adalah hasil pilihan rakyat dan pihaknya menerima keputusan itu dengan terbuka namun penuh kesedaran.

“Keputusan ini tidak sedikitpun melemahkan semangat kami malah menyemarakkan lagi tekad untuk terus bekerja kuat memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, perkara itu menuntut kerajaan PAKATAN untuk terus memperbaiki pemerintahan bagi memastikan segala usaha dan inisiatif dilaksanakan, dapat dirasai keseluruhan rakyat.

“Kami juga akan berusaha merapatkan saf kepimpinan antara parti dalam PAKATAN dan pada masa sama, mempergiatkan lagi program penerangan,” katanya.

Pada PRK itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Beliau memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi untuk mengatasi lima pencabarnya.

Pesaing terdekat yang juga calon PAKATAN, Karmaine Sardini, memperoleh 10,380 undi, manakala calon GERAKAN, Wendy Subramaniam (1,707 undi).

Tiga calon lain, iaitu Presiden BERJASA, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz meraih 850 undi, manakala Dr Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar (BEBAS) sekadar mendapat 380 dan 32 undi.


Pengarang :