Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kekangan kewangan FELDA jejaskan dana khas pelajar cemerlang

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Dana Khas Pelajar Cemerlang ke Universiti Luar Negara FELDA tidak dapat diteruskan ekoran kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan ketika ini.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata aliran tunai FELDA berada dalam keadaan tidak stabil ketika kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional pada 8 Mei 2018.

“Berbilion tunai FELDA dalam akaun tetapi pada waktu itu hanya ada RM35 juta sahaja. Itu pun belum ditolak liabiliti semasa yang mungkin bernilai negatif akhirnya,” katanya ketika sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Radzi berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) berhubung status dana berkenaan yang ditamatkan.

Beliau berkata langkah itu berdasarkan situasi kewangan FELDA, selain memberi tumpuan kepada usaha memulihkan kegemilangan badan itu seperti awal penubuhannya.

“Jadi pada waktu itu kita (kerajaan) buat keputusan supaya dana ini tidak diteruskan atas sebab kekangan kewangan,” katanya.

Dana yang diwujudkan pada 2006 itu menyediakan biasiswa antara RM500,000 hingga RM800,000 setiap seorang penuntut dalam kalangan anak peneroka Felda sepanjang tempoh empat tahun pengajian di luar negara.

Menjawab soalan asal Natrah Ismail (PAKATAN-Sekijang) berhubung langkah yang diambil kerajaan untuk terus membantu warga FELDA mengurangkan beban hidup mereka, Mohd Radzi berkata beberapa inisiatif sudah dilaksanakan.

“Peruntukan sebanyak RM250 juta untuk Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) bagi menyiapkan sebanyak 4,794 unit rumah yang tahap kemajuannya mencapai 70 peratus dan ke atas.

“Setakat ini, 1,698 unit sudah disiapkan sepenuhnya dan baki selebihnya akan disiapkan secara berperingkat selewat-lewatnya pada akhir tahun depan,” katanya.

Mohd Radzi berkata penyiapan projek terbengkalai itu akan memberikan manfaat langsung kepada generasi baharu FELDA.

-BERNAMA


Pengarang :