AGENDA SUKANKINI

Kelebihan Cheng mampu bermain pelbagai posisi

PETALING JAYA, 5 NOV: Kelebihan beraksi di pelbagai posisi menjadi faktor pemain kacukan Australia-Malaysia, Quentin Cheng dipilih menyertai sesi latihan skuad Bawah 22 (B-22) kebangsaan ke Sukan SEA Filipina 2019 yang bermula malam tadi.

Ketua jurulatih skuad B-22 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berkata, pemain berusia 20 tahun itu yang mewakili kelab B-21 Australia, Central Coast Mariners, boleh beraksi di pelbagai posisi, termasuk pertahanan dan sayap, sekali gus memberi pilihan kepadanya sekiranya ada pemain utama yang mengalami kecederaan.

Beliau bagaimanapun menegaskan, Cheng dan 27 pemain lain yang dipanggil pada sesi latihan kali ini perlu memberi aksi terbaik untuk disenaraikan dalam skuad akhir 20 pemain ke Sukan SEA 2019.

“Beliau sebelum ini bersama skuad Bawah 19 negara dan saya rasa beliau layak diberi peluang pada panggilan kali ini, dan kita tengok macam mana persembahan beliau (pada sesi latihan),” katanya ketika ditemui pemberita pada hari pertama sesi latihan skuad B-22 kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, malam tadi.

Seramai 23 pemain melaporkan diri pada sesi latihan berkenaan, dan lima pemain akan berbuat demikian selepas membantu skuad B-18 negara setelah berakhirnya pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 2020 di Phnom Penh, Kemboja pada 13 November ini.

Baki dua pemain lebih umur bakal diputuskan Kim Swee selepas dua aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 dan 19 November ini.

Dalam pada itu, Kim Swee mengesahkan skuadnya bakal diuji dalam aksi pemanas badan menentang sebuah pasukan tempatan pada minggu depan sebelum berlepas ke Manila pada 23 November ini, namun enggan mendedahkan nama pasukan berkenaan.

Ditanya mengenai aksi pembukaan Sukan SEA menentang Myanmar pada 25 November ini, Kim Swee mendedahkan pasukan berkenaan yang sedang menjalani latihan fasa akhir di Qatar adalah pencabar utama Malaysia dalam Kumpulan A, namun yakin barisan pemain yang dipanggil pada kali ini dapat memberi saingan untuk meraih keputusan positif.

Sementara itu, pemain tengah Pahang, Mohamad Faisal Abdul Halim, 21, bertekad merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad B-22 kebangsaan ke Sukan SEA 2019.

Beliau yang mesra dengan panggilan ‘Mickey’ dalam kalangan rakan sepasukan menegaskan walaupun pernah dipanggil pada sesi latihan skuad berkenaan sebelum ini, ia bukan jaminan bagi dirinya untuk dipilih dalam senarai akhir 20 pemain ke temasya sukan dwitahunan berkenaan.

Berbeza pula dengan pandangan pemain muda Kedah, Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin, 21 yang teruja dapat disenaraikan pada sesi latihan kali ini, dan bertekad membuktikan kelebihan yang ada padanya bagi memikat hati Kim Swee untuk ke Manila.

“Dalam pasukan Kedah, saya sudah buktikan apabila jurulatih (Aidil Sharin Sahak) kerap memberi peluang saya beraksi dengan pasukan utama, dan saya cuba buktikan saya boleh lakukan perkara yang sama bersama skuad B-22 kebangsaan,” jelas pemain tengah Kedah itu yang sebelum ini pernah terpilih ke sesi latihan skuad B-22 ke Kejohanan Piala Newspaper B-21 pada tahun lepas.

Selepas aksi menentang Myanmar, Malaysia bakal bertemu tuan rumah, Filipina pada 29 November, Timor-Leste (2 Disember), sebelum menamatkan perlawanan pusingan awal menentang Kemboja pada 4 Disember, dan kesemua perlawanan berkenaan akan berlangsung di Stadium Memorial Rizal, Manila.

Juara bertahan Sukan SEA, Thailand pula mengetuai cabaran Kumpulan B bersama lima pasukan lain iaitu Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei dan kesemua perlawanan berkenaan akan berlangsung di Stadium Binan, Laguna.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik daripada Kumpulan A dan B, layak ke peringkat separuh akhir.

– BERNAMA


Pengarang :