AGENDA NASIONAL

Kementerian Pendidikan tingkat kesedaran pelajar jadi pengundi

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Kementerian Pendidikan giat menjalin kerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan, bagi memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran pelajar sebagai persediaan menjadi pengundi selaras dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Katanya ia termasuk kerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional melalui pelbagai aktiviti berteraskan kepada pengamalan Rukun Negara serta Jabatan Penerangan bagi melaksanakan aktiviti patriotisme melalui Kelab Malaysiaku.

“Pada masa sama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menjalankan sesi simulasi pemilihan ketua murid melalui mekanisme pilihan raya sebagai projek rintis di sekolah,” katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman sesawang rasmi Parlimen, semalam.

Ia bagi menjawab soalan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PAKATAN-Johor Bahru) yang bertanya mengenai usaha yang diambil kerajaan bagi meningkatkan kesedaran golongan pelajar sekolah terhadap perkembangan politik semasa ekoran daripada kejayaan kempen #Undi18 sebelum ini.

Selain itu, kementerian itu berkata melalui Akademi Pilihan Raya (APR), SPR turut menjalankan Program Pendidikan Sivik di semua sekolah menengah dan meneruskan Program Pendidikan Pengundi sedia ada.

Kementerian itu percaya dengan usaha berterusan dan kerjasama yang dilaksanakan, ia dapat mempersiapkan pelajar dalam mengetahui hak serta tanggungjawab sebagai pengundi, sekali gus menentukan masa depan negara.

-BERNAMA


Pengarang :