Zuraida Kamaruddin menunjukkan jaket keselamatan air ketika merasmikan Life Saving Appliances (LiSA) dan papan tanda keselamatan yang diletakkan di Pantai Chenang pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air 2019 di Pantai Chenang hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kempen keselamatan aktiviti air tingkat kesedaran kawasan risiko

LANGKAWI, 10 NOV: Kempen kesedaran keselamatan aktiviti air akan bertindak sebagai platform pendidikan asas keselamatan dan kesedaran mengenai bahaya aktiviti air di lokasi tumpuan ramai, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata bagi tujuan itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengenal pasti kawasan berisiko tinggi untuk diberi tumpuan bagi tujuan keselamatan sepanjang cuti persekolahan.

Katanya Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) juga telah melaksanakan penilaian di kawasan berisiko tinggi bagi tujuan pemasangan papan tanda keselamatan yang mematuhi piawaian antarabangsa.

“Peralatan Menyelamat Nyawa (LiSA) akan ditempatkan di kawasan yang sering berlaku tragedi dan kemalangan termasuk kawasan tumpuan pelancong. LiSA akan memudahkan pengunjung sekiranya berlaku kecemasan ada siren yang akan berbunyi seterusnya penyelamat akan datang menyelamat.

Selain itu papan tanda amaran dengan menggunakan simbol-simbol ISO 20712 mengikut piawaian antarabangsa supaya pengunjung lebih peka serta berhati-hati apabila beriadah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air 2019 di Dataran Cenang di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Kedah Tan Kok Yew, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mary Wong Lai Lin dan Pengarah JBPM Kedah Sayani Saidon.

Selain Pantai Cenang, majlis pelancaran serentak turut diadakan di dua lokasi lain iaitu Teluk Cempedak, Pahang dan Pantai Awam Desaru, Johor.

Kempen kesedaran keselamatan aktiviti air menyasarkan golongan kanak-kanak, remaja dan belia​​​, bagi menjayakan usaha tersebut taklimat akan dilaksanakan di peringkat negeri dan daerah terutama beberapa hari sebelum cuti sekolah bermula.

-BERNAMA


Pengarang :