AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kempen PRK Tanjung Piai membosankan penduduk

PONTIAN, 13 NOV: Banyak pihak yang terlibat dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, terutama petugas parti dari luar Johor atau pihak media, agak terkejut dengan sambutan penduduk setempat yang tidak begitu berminat untuk menghadiri kempen pilihan raya yang dibuat parti atau calon bertanding.

Namun bagi penduduk Tanjung Piai, mereka mempunyai “alasan tersendiri” untuk tidak turun padang bagi memeriahkan kempen PRK yang diadakan terutama ceramah pada sebelah malam.

Alasan yang diberikan ketika ditemui, antaranya bosan dengan senario politik negara yang sentiasa menggunakan modal sama iaitu taktik-taktik negatif untuk menarik perhatian pengundi.

Tidak kurang juga menyatakan sudah malas mendengar janji-janji manis yang ditaburkan kerana merasakan kehidupan mereka masih sama walau apa pun keputusannya.

Ada yang yang beranggapan PRK ini tidak penting kerana ia tidak akan mengubah kerajaan yang ada sekarang. Beberapa pihak pula mengatakan tempoh 18 bulan untuk satu lagi pilihan raya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei tahun lalu amat meletihkan mereka untuk kembali terlibat dengan pilihan raya.

Pekebun Tan Jin Seng, 53, sebagai contohnya berkata, beliau tidak pernah peduli untuk menghadiri mana-mana ceramah kerana merasakan parti politik masih menggunakan “modal” lama untuk berkempen.

“Sama sahaja cerita mereka, tidak ada yang baharu. Pembangkang janji ini, kerajaan janji itu. Masing-masing mahukan rakyat memberi peluang,” katanya yang merujuk kehidupannya sebagai penanam kelapa sawit.

Emily Tan @ Tan Hwee Lee, 31, peniaga buah-buahan di Kukup pula berkata, kecenderungan sesetengah pihak yang berkempen menggunakan bahasa yang kasar membuatkan dirinya berasa tidak selesa mendengar ceramah yang disampaikan calon dan jentera parti mereka.

“Kalau hari-hari tuduh orang itu ini, guna bahasa yang kurang bagus maka kami tidak dapat lihat sudut yang positif (mengapa perlu datang ceramah). Tambah pula saya berniaga dari 9 pagi hingga 8 malam. Setelah selesai saya suka pulang terus ke rumah dan tidak akan keluar lagi,” katanya.

Bagi pekebun Sahlen Selamat, 57, rakyat mahukan pendekatan yang baharu dalam usaha parti politik mendekati dan mendapatkan sokongan mereka.

“Bukan apa, kadang-kadang orang ramai boleh membaca apa permainan parti politik. Mungkin kerana kita telah melalui banyak pilihan raya. Bagi saya, kalau hendak mendapatkan sokongan rakyat, memadailah kalau kita sekadar menerangkan agenda yang dibawakan dengan berjumpa terus dengan masyarakat setempat. Tidak perlu ceramah memburuk-burukkan calon, membuat provokasi dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, calon Bebas yang bertanding pada PRK itu, Faridah Aryani Abd Ghaffar sependapat dengan penduduk berhubung parti politik yang suka “mengata” (memburukkan) lawan, kerana rakyat kini sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang membolehkan mereka mengetahui tentang setiap parti politik bertanding.

“Sebab itu, saya berkempen menggunakan kaedah mudah, sekadar beramah mesra sambil bertanya keadaan warga Tanjung Piai. Ia akan diteruskan dalam tempoh kempen yang berbaki beberapa hari lagi,” katanya.

Bagi calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini pula, beliau mempunyai pandangan berbeza mengenai situasi penduduk yang kurang tertarik untuk menghadiri kempen calon.

Beliau mendedahkan antara puncanya mungkin kerana kecenderungan penduduk tempatan yang lebih gemar berada di rumah pada waktu malam, menyebabkan ramai yang tidak tergerak hati menghampiri kempen calon.

Sebagai anak tempatan, beliau memahami situasi tersebut dan tidak bimbang mengenainya kerana mempunyai pendekatan untuk menemui pengundi.

“Bukan disebabkan mereka ada kekangan, cuma mereka tidak berasa selesa (keluar malam). Sebab itulah kita pergi rumah ke rumah untuk memastikan mesej sampai kepada pengundi,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.
Pengundian akan dijalankan Sabtu ini.

Pada pilihan raya itu, Karmaine berdepan saingan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

– BERNAMA


Pengarang :