Saari Sungib dibantu orang ramai untuk ke persidangan Dewan Negeri Selangor dan ruang makan. Foto NADIAH ZAMLUS/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Kemudahan OKU di dewan negeri akan ditambah baik

SHAH ALAM, 13 NOV: Kemudahan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor (DNS) akan ditambah baik susulan aduan beberapa pihak berhubung isu berkenaan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya mengambil maklum perkara terbabit dan sedang dibincangkan bersama setiausaha dewan.

“Kita faham, bangunan ini kurang fasiliti untuk OKU kerana ia struktur lama, namun untuk melakukan kerja naik taraf, kosnya agak tinggi.

“Jadi kita memikirkan sewajarnya kemudahan sebegini dinaik taraf dan dijangka akan bermula tahun hadapan tetapi mungkin tidak sempat siap sebelum bermula sidang DNS pada Mac depan.

“Walaupun ada satu atau dua sahaja OKU tetapi kita memandang berat kesukaran dilalui mereka,” katanya kepada media pada sidang DNS, di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib ketika ditemui SelangorKini meluahkan rasa gembira apabila kekurangan infrastruktur OKU itu akan ditangani Kerajaan Negeri.

Beliau yang menggunakan kerusi roda sejak April lalu kerana masalah kesihatan turut meminta agensi ataupun syarikat lain supaya peka terhadap fasiliti OKU.

“Sekali tidak kena kita tidak tahu, begitu juga dengan saya dahulu. Waktu tidak gunakan kerusi roda saya tidak lihat kemudahan OKU, sekarang sudah guna baru tahu ia amat penting,” katanya.


Pengarang :