Hannah Yeoh (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada penghuni Anjung Kasih Rizahyati Osman, 37, (kiri) selepas merasmikan Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) pada 23 November lalu. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kenal pasti dewan, kuarters tidak diguna latih OKU

TAIPING, 24 NOV: Semua agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri diminta mengenal pasti dewan orang ramai serta kuarters yang tidak diguna bagi membolehkan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dilatih di situ untuk meningkatkan kemahiran bekerja dan hidup mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata perkara itu juga boleh mengurangkan beban pemilik mana-mana bengkel yang terpaksa menyewa bangunan bagi menempatkan golongan itu bekerja.

“Langkah itu akan membolehkan lebih ramai golongan OKU ditempatkan di situ (bangunan tidak digunakan) berbanding menyewa bangunan lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Anugerah Kerjaya Cemerlang OKU di Bengkel Perlindungan Semangat Maju Taiping di Aulong dekat sini, semalam.

Beliau berkata, golongan OKU juga adalah aset negara dan mereka juga memerlukan kehidupan yang selesa termasuk kemahiran dan bersosial.

“Ia berdasarkan maklum balas yang positif daripada majikan seperti syarikat pusat membeli-belah AEON dan Mydin yang menyatakan pekerja OKU lebih fokus dalam menjalankan tugas dan kekal bekerja lebih lama di sesebuah organisasi,” katanya.

Hannah berkata seramai 263 OKU terlibat dalam program Job Coach yang dijalankan oleh Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya sehingga Oktober tahun ini.

“Daripada jumlah itu, 178 OKU atau 68 peratus daripadanya adalah OKU Masalah Pembelajaran. Sebanyak 165 buah syarikat dari seluruh negara terlibat,” katanya.

Selain itu, Hannah berkata Perak adalah negeri ketiga tertinggi yang mempunyai pendaftaran OKU Masalah Pembelajaran iaitu 15,748 orang selepas Selangor (29,063) dan Johor 21,474 orang.

Beliau berkata kementeriannya akan menubuhkan lima lagi Pusat Latihan Berdikari (ILC) di negara ini untuk membantu golongan OKU berdikari dan pada tahun ini, dua buah ILC telah ditubuhkan dengan peruntukan RM900,000 bagi kedua-duanya.

-BERNAMA


Pengarang :