Kerajaan digesa membenar pengusaha vape nikotin menjual barang itu secara terkawal. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan digesa benar vape nikotin dijual secara terkawal

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) memohon agar kerajaan membenarkan penjualan vape nikotin secara terkawal seperti yang dilaksanakan di United Kingdom (UK).

Presiden, MEVTA Rizani Zakaria berkata, kebanyakan pemain industri vape terjejas dengan rampasan produk bernilai jutaan ringgit yang dilakukan oleh penguatkuasaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara baru-baru ini.

“Kami ambil maklum tindakan penguatkuasaan yang diambil kementerian ke atas industri vape di negara ini bermohon agar semua pihak (peniaga vape) yang terjejas bekerjasama dengan pihak berkuasa.

“Pihak industri vape juga mohon agar kerajaan membenarkan penjualan vape nikotin secara terkawal seperti peraturan dilaksanakan di UK yang mana sistem diperkenalkan itu terbukti berkesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak industri juga mencadangkan agar Jawatankuasa Khas kawalan penggunaan vape yang dipengerusikan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye itu turut melibatkan MEVTA sebagai wakil industri untuk berbincang bersama berkenaan peraturan yang bakal digubal.

Jelasnya, industri vape di Malaysia pada masa kini diusahakan oleh ramai usahawan belia tempatan iaitu hampir 95 peratus terdiri daripada usahawan bumiputera.

Media tempatan semalam, melaporkan KKM merampas 35,439 produk disyaki mengandungi nikotin melibatkan rampasan bernilai RM6.38 juta dalam satu operasi bersepadu di seluruh negara.

– BERNAMA


Pengarang :