AGENDANASIONAL

Kerajaan dirayu benar KKM tambah kakitangan

MELAKA, 13 NOV: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) merayu kerajaan mengecualikan Kementerian Kesihatan (KKM) daripada sekatan penambahan kakitangan di bawah Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam dan Dasar Penggunaan Sumber Manusia Secara Optimum.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pengecualian itu bagi menampung peningkatan pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara selain mengurangkan beban kerja kakitangan perubatan khususnya doktor, jururawat, dan pembantu perubatan.

Beliau berkata, ia juga bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta memastikan pesakit mampu mendapatkan rawatan yang diperlukan dalam tempoh masa yang yang singkat.

“Cuepacs berpandangan kerajaan perlu membenarkan lebih 10,000 perjawatan baharu yang dipohon Kementerian Kesihatan diisi khususnya jawatan penting seperti doktor, jururawat dan juri x-ray.

“Cuepacs banyak menerima aduan dan rungutan daripada kakitangan awam di hospital dan klinik kesihatan tentang kekurangan kakitangan dan beban kerja ditanggung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sektor Awan Zon Selatan 2019, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Omar Mat Piah dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial Melaka, Fadhilah Hamil.

Semalam Bernama melaporkan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berharap kementerian itu dikecualikan sekatan itu memandangkan kementerian tersebut memerlukan lebih ramai kakitangan bagi menampung fasiliti perkhidmatan kesihatan yang baru dibuka, selain menangani masalah kekurangan jawatan.

Azih berkata, Cuepacs menerima aduan terdapat kakitangan perubatan di hospital dan klinik kesihatan sedia ada ditarik ke klinik kesihatan baharu bagi menampung kekurangan kakitangan, yang mana tindakan itu secara tidak langsung memberi kesan pada sistem penyampaian.

“Umpama memakai kain singkat, pesakit di hospital makin meningkat tetapi kakitangan sedia ada ditarik ke klinik kesihatan baharu. Klinik kesihatan jumlah pesakit bertambah, ada yang menerima lebih 1,000 pesakit sehari dan doktor serta jururawat tidak dapat berehat atau makan tengah hari,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu juga akan memberi kesan pada kesihatan kakitangan perubatan kerana ada antara mereka khususnya jururawat perlu bekerja sehingga tiga syif sehari.

Sementara itu, Omar berkata, pematuhan sektor awam terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 masih kurang memuaskan dalam tempoh beberapa tahun lepas.

Beliau berkata, sebanyak 229 kes kemalangan di sektor awam seluruh negara telah disiasat JKKP dan 24 kes daripadanya merupakan kes kemalangan maut dalam tempoh lima tahun bermula 2018, manalaka 652 kes penyakit dan keracunan pekerjaan juga disiasat dalam tempoh tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :