Khalid Abdul Samad (dua, kanan) melancarkan logo Lembaga Perancang Bandar Malaysia (LPBM) selepas merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2019 (HPBS) Peringkat Kebangsaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan giat usaha hijaukan bandar

SHAH ALAM, 10 NOV: Lembaga Perancang Bandar Malaysia (PLANMalaysia) melancarkan logo baharu sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2019 Peringkat Kebangsaan.

Logo baharu menggunakan warna oren dan biru gelap itu memaparkan huruf LPBM yang dibentuk menyerupai susun atur perbandaran dan diadaptasi dari khat khufi, di samping pemindahan lokasi baharu pejabat dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad di Dataran Kemerdekaan Shah Alam sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk TPr Mohd Anuar Maidin.

Khalid dalam ucapannya berkata, kerajaan akan mempergiatkan inisiatif menghijaukan bandar sebagai usaha menyokong agenda pembangunan mampan bagi menangani masalah kemerosotan kualiti alam sekitar di negara ini.

“Kita mahu pembangunan sesebuah bandar itu dirancang dan dikawal supaya kesan daripada pembangunan tersebut tidak merosakkan alam sekitar.

“Ini kerana aktiviti pembangunan itu merupakan penyumbang terbesar kepada kemerosotan kualiti alam sekitar selain mendorong kepada pelepasan gas rumah hijau,” katanya.

Khalid berkata semua pihak berkaitan termasuk Perancang Bandar, Pihak Berkuasa Perancang Tempatan, agensi kerajaan dan swasta, perlu memainkan peranan proaktif dalam membantu kerajaan memelihara keharmonian alam sekitar.

Sambutan HBPS 2019 mengangkat tema ‘Hijau dan Komuniti: Bersama Lebih Baik (Green and Community: Together is Better), iaitu pendekatan ke arah merancang dan melaksanakan pembangunan mampan serta mendidik masyarakat kepentingan memelihara alam sekitar melalui persekitaran kondusif serta lestari.

Disambut pada 8 November setiap tahun di hampir 30 buah negara di seluruh dunia hasil cetusan idea cendekiawan perancangan bandar terkenal dari Argentina, Prof Carlos Maria Della Paolera, HPBS 2019 diadakan bersekali dengan Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam.

Dalam majlis sama, empat Pihak Berkuasa Tempatan menerima Penghargaan Bandar Mampan 2018 yang menyaksikan Majlis Bandaraya Ipoh dari Perak mengungguli kategori Majlis Bandaraya.

Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya dari Melaka mengungguli kategori Majlis Perbandaran, Majlis Daerah Pengerang, Johor bagi kaetogri Majlis Daerah sementara Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima Penghargaan Khas.

Sebelum itu pada sebelah pagi, Khalid turut bersama-sama melepaskan peserta FUN Walk yang dianjurkan Kelab Sukan dan Kebajikan Perancang Bandar Malaysia dengan kerjasama MBSA dan Treasure Hunt.


Pengarang :