AGENDANASIONAL

Kerajaan Negeri fokus selesai hutang lapuk UNISEL

SHAH ALAM, 13 NOV: Beberapa langkah sedang disusun bagi menyelesaikan hutang lapuk ditanggung Universiti Selangor (UNISEL) yang dianggar hampir RM30 juta.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata hutang itu menyebabkan UNISEL mencatatkan penurunan pendapatan sejak 2006.

“Kerajaan Negeri sedang menyusun beberapa aspek seperti hutang lapuk dan semalam kita mengadakan mesyuarat ahli lembaga pengarah.

“Trend penurunan (pendapatan) berlaku sejak 2006 dan keseluruhan beban (hutang) hampir RM30 juta.

“Bagaimanapun, UNISEL kini berubah dan Ahli Dewan Negeri boleh melawat ke sana. Setakat ini di Kampus Bestari Jaya sahaja terdapat 4,000 pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Ronnie Liu (PAKATAN-Sungai Pelek) berhubung pemberian perbelanjaan modal pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut memberikan subsidi hampir RM45 juta kepada UNISEL bagi memastikan Fakulti Kejuruteraan terus beroperasi kerana banyak institut pengajian tinggi menutup fakulti berkenaan kerana kekurangan pelajar.

Pada masa sama, katanya UNISEL mempunyai 11,328 pelajar sehingga akhir 2018 dengan pelajar tertinggi di dua fakulti, iaitu Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial serta Perniagaan dan Perakaunan di Kampus Shah Alam dengan jumlah pelajar sekitar 7,000 orang.

Secara keseluruhan UNISEL mencatatkan pendapatan sekitar RM111 juta dengan kos operasi RM109 juta.


Pengarang :