Lim Guan Eng. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan pastikan perbelanjaan pembangunan 2020 diguna tahun sama

PETALING JAYA, 10 NOV: Kerajaan akan memastikan perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 digunakan pada tahun yang sama, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata terdapat peruntukan perbelanjaan pembangunan tahun ini yang belum digunakan dan pihaknya akan bermesyuarat bagi mengatasi masalah itu.

“… bila kita sebut tentang perbelanjaan pembangunan untuk Belanjawan 2019, wang telah dikeluarkan pada bulan Januari tahun ini, tetapi untuk sesetengah kementerian hanya edarkan kepada agensi dan jabatan pada bulan Mei atau Jun.

“Lepas bulan Mei dan Jun baru buat tender terbuka…macam ini wang yang sepatutnya dibelanjakan pada tahun ini hanya boleh dibelanja pada 2020,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi DAP Selangor yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Guan Eng berkata beliau yakin pembangunan ekonomi untuk tahun 2020 akan lebih baik berbanding tahun ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kempen pilihan raya kecil Tanjung Piai pada sidang akhbar kemudiannya, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata parti komponen Pakatan Harapan perlu bekerjasama untuk mengekalkan kerusi itu.
 
-BERNAMA


Pengarang :