Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan siapkan draf pindaan umur minimum perkahwinan

SHAH ALAM, 19 NOV: Kerajaan sedang menyediakan draf pindaan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) untuk meminda umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi perempuan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Undang-Undang Keluarga Islam termasuk hukum syarak, perkahwinan dan adat negeri terletak di bawah bidang kuasa negeri dalam jadual Kesembilan, Bahagian Dua-Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan.

Katanya setakat ini hanya Selangor sudah meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri, lima negeri bersetuju sementara tujuh negeri tidak bersetuju untuk berbuat demikian.

“Beberapa sesi libat urus dilaksanakan kerajaan untuk tujuan penyeragaman umur minimum kepada 18 tahun dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri, Undang-Undang Adat dan Enakmen Mahkamah Anak Negeri dan lain-lain bentuk tatacara, kaedah dan garis panduan.

“Draf pindaan sedang dimuktamad Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, JAKIM manakala Enakmen atau Ordinan Undang-undang dan had umur minimum perkahwinan hanya boleh dipinda jika negeri bersetuju dengan cadangan pindaan tersebut.

“Hanya Selangor meminda enakmen ini manakala Wilayah Persekutuan sedang dalam proses pindaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan dikemukakan Syed Ibrahim Syed Noh (PAKATAN-Ledang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Lima negeri yang bersetuju untuk meminda akta itu adalah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak manakala Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah serta Kelantan masing-masing tidak bersetuju.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata bagi bukan Islam, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan tiada keperluan untuk meminda peruntukan berkaitan had umur pendaftaran perkahwinan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164).

Katanya ini kerana undang-undang sedia ada diperuntuk dengan jelas had umur minimum pendaftaran perkahwinan bagi lelaki dan perempuan adalah 18 tahun.

“Pengecualian hanya diberikan kepada perempuan berumur 16 dan 17 tahun yang perlu mendapat kebenaran daripada Ketua Menteri atau Menteri Besar.

“Pengecualian ini bagaimanapun, ditangani melalui mekanisme kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditambah baik bagi permohonan perkahwinan bawah umur dan mula berkuat kuasa pada 22 Ogos 2019,” katanya.

Dalam jawapan sama Wan Azizah memaklumkan, kementerian dalam peringkat akhir menyiapkan Draf Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.

Pelan itu mengandungi program atau tindakan membabitkan 61 buah agensi peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta dijangka akan dibentangkan melalui Memorandum Jemaah Menteri hujung tahun ini.


Pengarang :