Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan tegas isu keselamatan jalan raya

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan jalan raya melibatkan kenderaan berat termasuk isu berkaitan kenderaan dan pemandu itu sendiri.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menegaskan walaupun menyedari ramai di kalangan pemandu lori dan bas mendesak kementerian melonggarkan undang-undang terhadap khidmat pengangkutan perdagangan itu, kementerian tidak dapat berbuat demikian kerana melibatkan soal keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Kita faham soal kebajikan pemandu kenderaan berat ini, tetapi mereka juga kena faham tentang keselamatan orang ramai, jadi kementerian tidak boleh berkompromi dalam soal ini.

“Kalau (pemandu) ada latar belakang tidak baik, kenalah ambil tindakan. Jadi kita harap jangan ada mana-mana pihak mempolitikkan isu ini kerana ia bukan untuk kepentingan satu pihak sahaja, tetapi kepentingan semua,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang bertanyakan tentang langkah yang diambil oleh kerajaan bagi membantu golongan pemandu lori dan bas di negara ini.

Mengulas tentang bantahan yang dikemukakan oleh pemandu lori akan syarat baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menghendaki golongan itu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan memperbaharui lesen, Loke berkata ia bukanlah satu perkara baharu.

“Pada zaman kerajaan terdahulu lagi syarat pemeriksaan kesihatan telahpun dikenakan kepada pemandu kenderaan berat sebelum mereka dibenarkan memperbaharui lesen.

“Jadi pemeriksaan itu dijalankan secara biasa, kalau doktor kata mereka fit untuk memandu, maka tidak ada masalah…itu pengesahan daripada doktor, bukan bermaksud sesiapa sahaja ada kencing manis dan darah tinggi mereka terus tidak boleh memandu,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya JPJ juga sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat dalam usaha mencegah peningkatan kes kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berkenaan.

Kerajaan juga telah melaksanakan Sistem Mata Demerit berkuat kuasa 15 April 2017 di mana pemandu kenderaan perdagangan yang melakukan kesalahan berjadual akan dikenakan mata demerit yang lebih tinggi berbanding pemandu kenderaan persendirian.

Selain itu pemandu kenderaan berat yang disabitkan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu yang menyebabkan kematian, kecederaan atau memandu di bawah pengaruh dadah boleh hilang kelayakan memandu selama tempoh lima tahun dari tarikh sabitan.

Beliau menjawab soalan asal P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang bertanyakan langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan pihak majikan tidak mengambil pemandu bas yang mempunyai rekod penyalahgunaan dadah untuk mengelakkan kemalangan jalan raya.

-BERNAMA


Pengarang :