AGENDANASIONAL

Kerjasama Malaysia-Indonesia tangani isu PATI

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Jabatan Imigresen Malaysia dan Indonesia mengadakan mesyuarat dua hala bagi menangani isu berkaitan pendatang tanpa izin di kedua-dua negara.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pertemuan kali kedua di Kuching, Sarawak itu turut dihadiri Ketua Pengarah Imigresen Indonesia, Ronny Franky Sompie dan disertai delegasi terdiri daripada pegawai kanan dari kedua-dua negara.

“Mesyuarat ini merupakan satu medium dan platform bagi merapatkan hubungan antara agensi dan membincangkan isu-isu berkaitan imigresen dan operasi seharian yang memerlukan kerjasama dari kedua-dua negara.

“Antara fokus utama perbincangan adalah isu berkaitan kawalan sempadan dan pengurusan dokumen perjalanan. Kesepakatan dalam pengurusan kawalan sempadan dan pergerakan keluar masuk antara kedua negara amat penting bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan sempadan negara tidak dibolosi, dan setiap isu dapat diselesaikan melalui diplomasi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata turut dibincangkan adalah mengenai pengurusan pendatang tanpa izin merangkumi isu penguatkuasaan, dokumentasi dan pengurusan depot tahanan serta pengusiran.
 
“Selain itu, isu pemerdagangan manusia dan sindiket berkaitan juga dibincangkan agar jenayah rentas sempadan ini dapat dibanteras melalui tindakan bersama yang lebih berkesan.

“Isu sempadan, kawalan pergerakan keluar masuk dan isu keselamatan juga dibincangkan iaitu mengenai langkah membantu mempercepatkan pengurusan penghantaran pulang warga Indonesia dari Malaysia,” katanya.

Beliau berkata  mesyuarat juga membincangkan berhubung kerjasama strategik yang dapat dijalankan pada masa akan datang termasuk program latihan bersama bagi meningkatkan lagi kesepakatan dan kerjasama erat sedia ada.

“Pertukaran latihan dan perkongsian maklumat secara strategik bukan saja dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dari aspek pembangunan kapasiti malahan dapat membantu meningkatkan kecekapan dalam pengurusan warga asing di negara masing-masing,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :