AGENDANASIONAL

Kerjasama Selangor-KPKT bantu pembeli Rumah IDAMAN

SHAH ALAM, 1 NOV: Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memastikan pembeli Rumah IDAMAN mendapat manfaat daripada skim Rent-To-Own (RTO) yang dimumkan Kerajaan Persekutuan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2020 berkata, Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat menyatakan sokongan kepada inisiatif itu dengan memperkenalkan produk pembiayaan khusus membabitkan pinjaman sehingga 110 peratus daripada harga jualan bagi tempoh pinjaman 40 tahun.

Katanya, fasa pelaksanaan Rumah Idaman sebanyak 4,800 unit merangkumi kawasan Kajang, Bangi dan Paya Jaras sudah bermula dan diluluskan untuk pembinaan serta dijangka siap sepenuhnya dalam masa tiga tahun.

Melalui skim RTO, pembeli akan menyewa bagi tempoh sehingga lima tahun dan selepas setahun diberi pilihan untuk membeli rumah berkenaan pada harga ditetapkan semasa perjanjian penyewaan ditandatangani iaitu RM250,000.

Objektif utama Rumah Idaman adalah bagi meningkatkan sosio-ekonomi rakyat berpendapatan rendah (B40) dan menengah (M40) melalui penciptaan persekitaran hidup kondusif selaras dengan kerangka kerja Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.


Pengarang :