Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes bendera: Presiden MABA ambil cuti

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Atas dasar tanggungjawab terhadap organisasi, Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Lua Choon Hann secara sukarela mengambil cuti dengan segera bagi memberi ruang kepada proses siasatan pihak berkuasa yang masih berjalan.

Keputusan itu dibuat ekoran insiden paparan imej Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima semasa majlis perasmian Kejohanan Kebangsaan Piala Lum Mun Chak bawah 15 tahun pada 25 November lalu.

“MABA akan terus bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa berkaitan penyiasatan ini. MABA tekad dengan pendirian bahawa insiden ini tidak disengajakan oleh pihak kami dan adalah disebabkan kecuaian.

“Pihak MABA akan mengambil langkah sepatutnya untuk memperbaiki prosedur persatuan dan meningkatkan kemahiran kakitangan kami demi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini pada masa hadapan,” kata MABA dalam satu kenyataan.

MABA juga turut menamatkan kontrak syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan ‘penstriman langsung’ ketika perasmian kejohanan itu.

Insiden yang berlaku ekoran syarikat terbabit menghasilkan serta memaparkan paparan Jalur Gemilang yang salah pada skrin diod pancaran cahaya (LED) semasa lagu kebangsaan dimainkan.

“MABA menamatkan kontrak mereka pada hari kejadian. Pihak kami akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya berdasarkan keputusan siasatan yang sedang dijalankan,” kata kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :