Inspektor Sheila Sheron (dua, kiri) memberi ceramah bertajuk Unit Penguatkuasaan Akta Penguatkuasaan 757 (Aspek Jenayah) pada Program Pemberdayaan Komuniti Ke Arah kehidupan Bandar Mampan di Perumahan Strata Bertingkat di Auditorium MBPJ, Petaling Jaya pada 30 November 2019.
AGENSISELANGOR

Kes pecah amanah dana penyelengaraan di kediaman berstrata

PETALING JAYA, 30 NOV: Kerani yang dilantik Badan Pengurusan Bersama (JBM) didapati paling ramai terlibat dengan kes jenayah pecah amanah dana kutipan yuran penyelengaraan kediaman berstrata di Petaling Jaya.

Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Sheila Sheron berkata, perkara ini berlaku kerana kerani yang menguruskan kutipan yuran penyelenggaraan rumah beroperasi secara bersendirian tanpa pemantauan ahli jawatankuasa JMB.

“Kerani berkenaan boleh mengambil wang tersebut dengan pelbagai cara dan kes-kes memalsukan tandatangan juga berlaku.

“Semua ini satu kesalahan yang jelas dan pelaku boleh didakwa di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah bertajuk Unit Penguatkuasaan Akta Penguatkuasaan 757 (Aspek Jenayah) pada Program Pemberdayaan Komuniti Ke Arah kehidupan Bandar Mampan di Perumahan Strata Bertingkat di Auditorium MBPJ, di sini, hari ini.

Katanya, selain itu terdapat juga beberapa kes membabitkan rakan subahat kepada kerani terbabit seperti rakan sejawatan dan Ahli Jawatankuasa JMB sendiri.

Ketika ditemui SelangorKini, Sheila bagaimanapun berkata, lazimnya perbuatan ini akan terbongkar dengan cepat jika polis memulakan siasatan atau pihak JIM sendiri melakukan semakan audit.

Selain pecah amanah membabitkan kerani, kes menipu membabitkan pengurus bangunan juga merupakan antara laporan diterima polis bahagian komersial.

“JMB melantik seorang pengurus bangunan dan antara tugasnya mencari kontraktor bagi melaksanakan sesuatu projek.

“Apa yang berlaku, pengurus bangunan ini menyalahguna kuasa untuk bersubahat dengan pihak ketiga bagi mendapatkan projek tersebut dengan memberi butiran sebut harga palsu,” katanya.

Sheila berkata, perbuatan ini dikategorikan sebagai rasuah dan pihak polis akan menyerahkan kes seperti ini kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tindakan lanjut termasuk pendakwaan.

“Dari Januari 2019 hingga ke hari ini polis daerah ini menerima kira-kira 20 hingga 25 kes berkaitan JMB sama ada pecah amanah oleh kerani, rasuah untuk mendapatkan habuan oleh pengurus bangunan dan kes lain-lain.

“Bilangan ini tidaklah membimbangkan tetapi tidak boleh dibiarkan. Penduduk dan khasnya Ahli Jawatankuasa JMB perlu peka terhadap isu ini,” katanya.


Pengarang :