Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Kes suami isteri rentung di Ipoh selesai

LUMUT, 27 NOV: Kes sepasang suami isteri rentung dalam kebakaran di sebuah apartmen di Taman Meru Impiana, Ipoh, Ahad lalu dianggap selesai, kata Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain.

Beliau berkata, kes itu dianggap selesai kerana berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) si suami dikenali sebagai Kamal Mustafa yang juga suspek utama kejadian adalah individu terakhir masuk ke kediaman itu.

Bagaimanapun, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mencari motif sebenar suspek yang juga seorang warga asing.

“Kita juga ada buat temubual dengan jiran, pergi ke hospital untuk dapatkan maklumat. Kes dianggap selesai cuma siasatan lanjut dijalankan untuk tahu apa motif kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika program lawatan kerja Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Ab Rahman di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini, hari ini.

Semalam, Razarudin berkata Kamal Mustafa adalah suspek utama kejadian selepas dia dilihat membawa masuk tong dipercayai berisi petrol yang dibeli di stesen minyak berhampiran ke dalam rumah mereka.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, Kamal Mustafa dipercayai warga Arab dan isterinya, Kamariah Talib seorang wanita tempatan masing-masing berusia 70-an ditemui rentung di unit apartmen berkenaan.

Hasil bedah siasat menemukan beberapa kesan tikaman pada rusuk kiri Kamariah yang dipercayai meninggal lebih awal sebelum kebakaran, manakala si suami meninggal akibat sesak nafas akibat asap tebal.

-BERNAMA


Pengarang :