AGENDANASIONAL

Kit Siang percaya kerajaan PAKATAN boleh tangani penyebaran berita palsu

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata beliau percaya kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) boleh menangani penyebaran berita palsu dan ucapan berbaur kebencian secara berkesan.

Katanya, berita palsu dan ucapan berbaur kebencian itu bukan sahaja boleh menghancurkan Malaysia yang bermasyarakat majmuk, tetapi juga telah dikenal pasti sebagai ancaman eksistensi ketiga terhadap manusia.

“Di Malaysia, atau di seluruh dunia, persoalan mengenai berita palsu, ucapan berbaur kebencian telah mengatasi sifat manusia dan kita sepatutnya berupaya untuk memeranginya,” katanya di forum Demokrasi Pada Era Polarisasi di sini semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata beliau sendiri pernah menjadi sasaran penyebar berita palsu di media sosial pada tahun 2017, dan isu itu telah menjadi suatu kebiasaan dan kelaziman dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kebelakangan ini, beliau berkata terdapat peningkatan dalam sentimen perkauman dan agama di negara ini, dengan permasalahan itu diburukkan oleh parti-parti tidak bertanggungjawab, pihak yang mengambil kesempatan dan penyebar berita palsu.

-BERNAMA


Pengarang :