AGENDANASIONAL

KKM, KPM rangka strategi atasi pelajar guna vape

SHAH ALAM, 14 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan sesi perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi merangka strategi untuk memastikan masalah penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah dapat dibendung.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya juga menjalankan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara dengan menumpukan kedai-kedai penjualan vape berhampiran sekolah.

“Antara langkah yang telah dijalankan KKM ialah aktiviti penguatkuasaan terhadap penjualan rokok elektronik yang mengandungi cecair nikotin dan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan mereka yang berumur 18 tahun dan ke bawah.

“Di bawah peruntukan Akta Racun 1952, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM telah menjalankan tindakan penguatkuasaan di seluruh Malaysia pada 20 Ogos dan 31 Oktober 2019.

“Penguatkuasaan ini adalah menumpukan kedai-kedai penjualan rokok elektronik atau vape berhampiran sekolah serta yang menjadi akses kepada pelajar seperti di kedai-kedai runcit, kedai gajet dan kedai peralatan rokok elektronik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan dikemukakan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, masalah rokok elektronik bermula seawal tahun 2013 dan telah memuncak penggunaannya di Malaysia pada tahun 2016 malah menjadi epidemik global yang mengundang kebimbangan pelbagai pihak.

Pada 2018, sejumlah 32 peratus daripada 20,032 perokok berdaftar berjaya berhenti merokok menerusi Program Berhenti Merokok (mQuit).

Mengenai penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan, Dr Dzulkefly menjelaskan, sebanyak 146,607 premis makanan telah diperiksa manakala 31,422 lagi diberi notis amaran.

“Dari jumlah tersebut, sebanyak 27,759 buah premis telah diberikan amaran kerana gagal meletakkan tanda larangan merokok serta 3,889 notis dikeluarkan bagi orang yang didapati merokok di kawasan kedai makan.

“Sejumlah 23,805 aduan pula diterima sejak Januari 2019 sehingga 3 November 2019.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap perokok yang ingkar akan larangan merokok di semua premis makanan akan bermula 1 Januari 2020,” katanya.


Pengarang :