AGENDANASIONAL

KKM pantau penggunaan bekas makanan plastik murah

SEREMBAN, 10 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) memantau penggunaan bahan plastik murah sebagai bekas makanan yang dikatakan mampu mengundang bahaya kepada kesihatan.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Akta Makanan 1983 di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, sekiranya benar penggunaan bekas makanan dari bahan plastik murah ini menyebabkan makanan atau minuman tercemar dengan bahan kimia.

“Secara khusus kalau isu bersabit keselamatan dan kualiti makanan memang di bawah tanggungjawab kita, saya minta BKKM pantau perkara ini.

“Saya kena teliti dahulu terutama dari sudut laporan, yang penting BKKM akan dapatkan maklumat berkaitan sebelum kita buat sesuatu keputusan.

“Keputusan kita mesti berdasarkan fakta, maklumat dan ini perlu sedikit kajian untuk kenal pasti apa sebenarnya masalah yang boleh memudaratkan kesihatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Gaya Hidup Sihat Dewan Undangan Negeri Paroi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media tempatan semalam berhubung alat permainan dan bekas makanan yang diperbuat daripada plastik dan dijual pada harga yang murah di kedai serbaneka, mampu memberi kesan negatif kepada kesihatan pengguna kerana mengandungi bahan kimia tambahan iaitu ‘phthalates’.

Dr Dzulkefly berkata semua maklumat serta kajian yang dilaksanakan BKKM itu nanti akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk perbincangan lanjut.

Ditanya mengenai terdapat gesaan terhadap pengeluar barangan plastik agar melakukan pengisytiharan kandungan kimia dalam setiap produk yang dikeluarkan mereka, Dr Dzuklefly berkata pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, akan melihat perkara itu.

-BERNAMA


Pengarang :