AGENDANASIONAL

KKM sedia pelbagai bantuan kesihatan buat M40

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Kerajaan tidak pernah meminggirkan kebajikan golongan berpendapatan pertengahan (M40) dengan memberikan pelbagai bantuan untuk membela nasib mereka termasuk perkhidmatan kesihatan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkhidmatan kesihatan bagi seluruh rakyat Malaysia termasuk golongan M40 di fasiliti KKM adalah bersubsidi dengan kadar bayaran minimum atau percuma iaitu caj yang dikenakan adalah RM1 bagi pesakit luar dan RM5 bagi klinik pakar.

“Caj maksimum bagi pesakit kelas tiga pula adalah tidak melebihi RM500 bagi setiap kemasukan hospital. Untuk warga emas, diskaun 50 peratus diberikan ke atas caj yang dikenakan dengan maksimum caj sebanyak RM250.

Pemegang kad OKU (orang kelainan upaya) diberi pengecualian di Wad Kelas 3,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PAKATAN-Kota Melaka) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan inisiatif-inisiatif kesihatan (sedia ada dan yang bakal diperkenalkan) untuk golongan berpendapatan M40.

Dzulkefly memberitahu, KKM juga mempunyai mekanisme dalam membantu pesakit-pesakit yang tidak mampu dan kurang berkemampuan melalui Tabung Bantuan Perubatan (TBP).

“Tabung ini ditubuhkan sejak 2005 untuk membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos rawatan dan perubatan penyakit kronik yang boleh dirangkumkan dalam pelbagai disiplin seperti kardiologi, ortopedik, otorinolaringologi (ENT), pediatrik dan sebagainya. Bantuan ini juga termasuk kos ubat-ubatan yang tidak disediakan oleh pihak hospital kerajaan,” katanya.

Menurutnya, KKM juga telah menyediakan subsidi bagi pesakit kurang berkemampuan untuk mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dengan menanggung sepenuhnya atau sebahagian dari kos perubatan dan rawatan, tertakluk pesakit memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam peraturan yang berkuat kuasa.

Katanya, secara purata setiap tahun KKM membelanjakan sebanyak RM450 juta bagi pesakit kurang berkemampuan mendapat rawatan di IJN.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, KKM juga bercadang mewujudkan mekanisme mengawal caj ubat-ubatan yang sangat tinggi di hospital swasta.

“Kita tahu pihak swasta suka guna ‘ubat asli’ atau ‘ubat terpaten’ kerana itu adalah ubat-ubatan berbanding dengan ‘generik’ yang lebih murah…perkara ini kita telah pun beberapa kali mengadakan perbincangan untuk mendapatkan satu mekanisme mengawal harga-harga ubatan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo yang bertanyakan langkah yang diambil oleh kementerian untuk mengawal harga ubatan yang mahal di hospital swasta.

— BERNAMA


Pengarang :