AGENDANASIONAL

KKM tiada rancangan gubal akta larang minum arak di tempat awam

BANGI, 27 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) belum mempunyai perancangan untuk menggubal akta bagi melarang orang ramai daripada meminum arak dan minuman beralkohol di tempat terbuka, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata kementerian itu tidak mahu mengganggu bidang kuasa pihak lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sekarang mempunyai kuasa untuk melarang perbuatan meminum arak secara terbuka di sesetengah tempat.

Menurutnya, kementerian hanya bertanggungjawab mengawal jenis kandungan alkohol serta peratusan kandungan alkohol dalam minuman keras sebagai antara syarat sebelum produk itu dibenarkan dijual di negara ini.

“Ia jelas di bawah kuasa PBT. Kementerian Kesihatan tidak akan mengganggu kuasa ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Persatuan Asia Pasifik untuk Penyelidikan Alkohol dan Ketagihan (APSAAR) di sini hari ini.

Beberapa pihak antaranya Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan mewujudkan undang-undang khas atau menguatkuasakan larangan meminum arak di tempat tertentu atau secara terbuka antaranya bagi menangani peningkatan masalah sosial akibat daripada minuman keras.

Dalam pada itu, Dr Lee berkata, kementerian belum menerima permohonan daripada mana-mana pegawai awam atau badan berkanun untuk menanam ketum susulan kebenaran yang diumumkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Dewan Rakyat pada Isnin lepas.

Beliau berkata kebenaran itu hanya diberikan bagi penanaman oleh pihak tersebut untuk tujuan penyelidikan, pendidikan dan perubatan.

Dr Dzulkefly dilaporkan berkata penanaman ketum dibenarkan bagi tujuan penyelidikan, pendidikan dan perubatan oleh mana-mana pegawai awam atau pegawai daripada badan berkanun berdasarkan terma dan syarat tertentu serta surat kebenaran daripada Menteri Kesihatan.

Sementara itu, Dr Lee dalam ucapannya berkata sejak pelaksanaan Medication Assisted Therapy (MAT) atau terapi dengan bantuan ubat pada 2005, Malaysia kini mempunyai lebih 500 klinik atau pusat sama ada oleh kerajaan atau swasta yang diwujudkan bagi menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Program itu beliau berkata didapati berkesan dalam peningkatan kualiti hidup terutama dari segi pekerjaan, status kesihatan dan fungsi sosial bagi kes-kes tersebut.

“Terdapat juga pengurangan yang luar biasa dalam HIV, Hepatitis B dan C dan juga pengurangan dalam jenayah, tahanan, penggunaan dadah dan risiko HIV. Penagih dadah juga tidak lagi menjadi beban sosial dan boleh menyumbang kepada masyarakat melalui pekerjaan yang bermanfaat,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :