AGENSISELANGOR

KOHIJRAH sumbang ATV bantu usahawan kelapa sawit

OLEH ALIFF HAIKAL

KOTA KEMUNING, 25 NOV: Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH) menyumbangkan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) 130CC kepada usahawan kelapa sawit.

Pengurusnya, Syukri Ismail berkata produk bernilai RM6,990 bagi kegunaan pertanian itu dibiayai sepenuhnya Yayasan HIJRAH.

“KOHIJRAH melancarkan ATV yang mempunyai tiga pakej dengan harga berpatutan iaitu ATV 125 berharga RM5,500, ATV 130 (RM6,990) dan ATV 200 (RM8,500).

“Kesemua pakej ini memiliki perlindungan kemalangan semasa mengendalikan produk, kehilangan unit dan perlindungan kerosakan enjin selama setahun,” katanya pada majlis penyerahan berkenaan di Wisma KOHIJRAH di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Cawangan HIJRAH Kota Raja, Sukri Abdullah dan Pegawai HIJRAH Cawangan Kota Raja, Haimiridzuan Hamal.

Pada masa sama, Syukri turut menjemput orang ramai terutama usahawan untuk menyewa rak bagi mempromosikan produk mereka di KOHIJRAH Mart.

Katanya harga yang ditawarkan untuk sewaan secara bulanan adalah RM230 bagi produk kerepek, produk kering (RM250), dan produk sejuk beku (RM290).

“KOHIJRAH komited membantu usahawan terutama di Selangor yang menceburi bidang pertanian dan keusahawanan selain memelihara kebajikan dengan memberi pulangan serta manfaat,” katanya.


Pengarang :