AGENDA NASIONAL

Koperasi kekal berdaya saing ketika ekonomi mencabar

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Sektor perniagaan koperasi diyakini terus berkembang dan kekal berdaya saing di sebalik keadaan ekonomi semasa yang mencabar, kata Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Menurut beliau, ini kerana koperasi mempunyai ‘capture market’ yang sedia ada dan kekuatan jaringan pasaran pada skala yang besar.

“Dari segi konteks ASEAN misalnya, kita ada 65 juta ahli koperasi. Jadi itu satu pasaran yang cukup besar, ini kita belum bercakap di peringkat global yang ahlinya lebih daripada 1.5 bilion.

“…dan ini terbukti pada masa kegawatan ekonomi yang lepas, gerakan koperasi boleh ‘survive’ sebab itu juga institusi koperasi negara kita telah menjangkau lebih dari 100 tahun,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel, malam tadi.

Dalam pada itu, Abdul Fatah berkata sebanyak 180 gerai pameran daripada koperasi tempatan dan luar negara akan terlibat dalam Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi (MACCOPS) yang berlangsung di Pusat Kovensyen Antarabangsa PERSADA, Johor dari 28 hingga 30 November ini, termasuk dari Singapura, Brunei, Indonesia, China, Thailand, Korea, Vietnam dan India.

Karnival yang memasuki edisi keempat itu bertujuan menyediakan platform terbaik bagi koperasi bekerjasama mencari rakan kongsi dengan koperasi tempatan dan antarabangsa serta syarikat multinasional.

-BERNAMA


Pengarang :