AGENDANASIONAL

KPWKM akan perhebat usaha daftar OKU

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memperhebatkan usaha menggalakkan ibu bapa dan penjaga mendaftarkan anggota keluarga mereka yang kelainan upaya (OKU) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui ‘Jom Daftar’ pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri berkenaan, Hannah Yeoh berkata, program itu, yang telah mula dilaksana dan digerakkan Jabatan Pembangunan OKU dan JKM, akan memberi tumpuan utama kepada aktiviti turun padang di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Contohnya segelintir keluarga di kawasan luar bandar, mereka mungkin tidak tahu mengenai autisme, itulah sebabnya kami perlu masuk ke sana (kawasan luar bandar) dan membawa bersama pakar untuk menerangkan mengenai perkara itu kepada keluarga.

“Kita juga memaklumkan kepada anggota Parlimen yang mana mereka perlu membantu Jabatan Pembangunan OKU dan memikirkan tentang kawasan mereka, berfikir bagaimana untuk mendaftarkan mereka (golongan OKU),” katanya selepas merasmikan simposium ‘Malaysia Applied Behaviour Analysis’ (ABA) di sini, hari ini.

Yeoh berkata, pihaknya akan ke Lawas, Sarawak bagi aktiviti turun padang di kawasan itu pada Februari tahun hadapan.

Menjelaskan program itu akan dijalankan di semua kawasan, beliau berkata, pendaftaran itu penting bagi membolehkan mereka mendapat perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan mereka, selain memastikan kerajaan mengetahui taburan dan bilangan golongan OKU di negara ini.

Pada masa ini, jumlah OKU berdaftar di negara ini adalah kira-kira 500,000 dan beliau percaya angka itu sebenarnya lebih tinggi. Ia antara lain disebabkan stigma terhadap OKU dan kurangnya kesedaran mengenai kepentingan untuk berdaftar dengan JKM.

Sementara itu, simposium dua hari itu yang dianjurkan Behaviour Analysis Academy bersama Jabatan Psikologi, menampilkan nama-nama terkenal dalam ABA yang akan menyediakan maklumat saintifik terkini dalam aplikasi yang lebih luas seperti dalam bidang pendidikan, keperluan khas dan tingkah laku organisasi.

– BERNAMA


Pengarang :