BUDAYARENCANA

Kucing-Kucing yang kepingin mengubah hidup

Oleh Shahkang

 Aku menekan brek dengan mengejut sewaktu membelok dari simpang jalan utama ke kawasan perumahan. Ada sekumpulan kucing sedang berarak keluar dari kawasan perumahan – melintas tanpa mempedulikan deraman keretaku. Seolah-olah ada perarakan hari keramaian. Mungkin kucing-kucing demonstrasi mahu harga ikan kembung atau ikan selayang diturunkan?

Perkara ini betul-betul membingungkan aku.

Setibanya aku di rumah, aku memekik memanggil Tam – seekor kucing serupa bebola bulu hitam milikku.

Tam tidak menyahut seperti selalu. Barangkali dia turut menyertai perarakan tadi?

Aku mencapai alat kawalan jauh televisyen dan menekan punat. Forum politik kebangsaan bersiaran tepat pada waktu. Seorang ahli panel berlipstik merah kehitaman dan berambut perang sedang berbicara dalam bahasa asing, meski pengacara menyoalnya dalam bahasa kebangsaan.

Tam masuk ke ruang tamu menerusi celahan dua pintu gelongsor kaca. Aku menepuk-nepuk sofa, mengajaknya duduk.

“Kenapa ada perarakan kucing? Ada perayaan apa?”

Menurut Tam, peserta perarakan adalah kucing-kucing taman perumahan ini. Ini bukan perarakan, tetapi penghijrahan beramai-ramai.

Aku menggaru kepala yang tidak gatal.

“Berhijrah ke mana?”

Tam mengibas-ngibas ekornya.

“Mengapa perlu berhijrah?”

Bertubi-tubi pula soalanku.

Kucing-kucing ini dijanjikan kehidupan lebih selesa di negara luar. Makanan harian lebih sedap serta hak sama rata manusia dan kucing. Di negara luar, kucing-kucing menjadi buruan dan rebutan para manusia (bak selebriti). Tidak seperti di negara ini, kucing dianggap makhluk kelas ketiga – mengemis di restoran dan komuniti kucing dibiarkan merana di pasar-pasar. Isu kematian kucing ketika melintas di jalan raya tiada siapa pun peduli. Banyak lagilah!

Aku berfikir sejenak. Kebanyakan kucing di sini mempunyai tuan, diberi makan secukupnya (malah dipakaikan reben, tanda tuan masing-masing tidak mahu kehilangan mereka). Komuniti di sini siap menubuhkan skuad untuk mengenal pasti kucing liar untuk dijaga rapi dan diberi makan. Seorang penduduk di sini yang bekerja sebagai doktor haiwan di klinik swasta menawarkan perkhidmatan perubatan percuma jika ada kucing-kucing yang cedera atau sakit.

“Apa kurangnya tinggal di taman perumahan ini?” Aku hairan.

* * *

Para kucing berhimpun di kawasan lapang berhampiran surau. Berdegar-degar suara seekor kucing menyampaikan pidato. Sekali-sekala diselangi dengan sorakan hadirin.

“Setiap kali tuan anda keluar rumah berhari-hari, adakah dia kisah dengan kebajikan anda? Tentunya tidak! Dia hanya bekalkan makanan kering yang akan lemau selepas beberapa hari.”

Hadirin mengangguk.

“Di luar sana, martabat seekor kucing setaraf dengan seorang manusia. Sudah tidak ada kucing mati digelek kenderaan atas jalan raya. Tidak ada kucing mengemis sisa makanan, meminta simpati pengunjung restoran. Kehidupan bangsa kucing di negara luar begitu bahagia sekali!”

Waaah. Waaahh. Ada nada kagum terbit dari kerongkong para kucing. Si pemidato di atas tembok surau merupakan seekor kucing bernama Charlie Belang. Dia berasal dari taman perumahan ini dan sudah bertahun-tahun berkelana. Ada sumber mengatakan dia sudah menjejak kaki sehingga ke benua Eropah.

Tahukah anda, lampu isyarat khas untuk kucing melintas juga disediakan. Bangsa kucing dan anjing hidup tanpa api sengketa. Oh ya di sana juga sangat sejuk. Aku banyak menghabis masa di atas kusyen khas tempat tidur, di hadapan pemanas elektrik. Charlie Belang ligat bercerita. Para hadirin ternganga, khusyuk mendengar.

“Setiap hari kami makan ikan tuna atau ikan sardin dari dalam tin. Bukan seperti kucing di sini – hanya makan ikan selayang rebus digaul dengan nasi yang hampir basi,” kata teman wanita Charlie Belang, Stephanie Tompok sebagai pemidato kedua.

Terliur setiap hadirin membayangkan. Terasa hidup bagai di syurga!

Tam sebagai salah seorang hadirin turut asyik dibuai angan-angan. Segala yang diceritakan oleh Charlie Belang dan Stephanie Tompok adalah impian setiap kucing di negara ini.

“Kita harus nyah dari taman perumahan ini. Benar, nyah! Di luar sana lebih selamat untuk bangsa kucing. Ayuhlah, bersama kami!”

* * *

Tam menjilat-jilat bulu di celah kangkang. Memang menjadi tabiatnya untuk membersih tubuh ketika berbicara denganku.

“Habis, kau tak mahu berhijrah?”

Tam menggeleng-geleng. Katanya, beliau sentiasa ingat nasihatku untuk rasa bersyukur dengan keadaan sedia ada.

“Saya ada cuba menghalang usaha Charlie Belang dan Stephanie Tompok meracuni pemikiran bangsa kucing di sini. Fikir masak-masak, usah terburu-buru, apa yang kita nikmati sudah cukup baik – begitulah saya pesan kepada teman-teman sebangsa.”

Aku mengangkat kening.

“Tetapi akhirnya Charlie Belang dan Stephanie Tompok mengupah anjing liar dari taman perumahan sebelah untuk memukul saya.”

“Oh, patutlah kau cedera tempoh hari!” Aku teringatkan telinga Tam yang luka terkerunas beberapa hari lepas, sehingga memaksa aku mengambil cuti sehari untuk membawanya berjumpa doktor haiwan.

Forum politik nasional tamat siaran, berganti dengan siri dokumentari. Tajuk hari ini berkenaan makanan eksotik di negara-negara luar. Memandangkan tiada rancangan lain (drama atau filem Melayu) di kaca televisyen, aku membiarkan saja televisyen terbuka sambil-sambil aku mengeluarkan komputer riba dari dalam beg. Ada banyak tugasan pelajar perlu aku semak dan betulkan.

“Tuan!” Tam kuat menempik sambil menghala tangan (kaki hadapan) ke arah kaca televisyen. Aku mencapai alat kawalan jauh untuk menguatkan suara.

Masyarakat di sini menikmati daging daripada haiwan dan serangga contohnya ular sawa, kala jengking, belalang dan kucing.

Oh, mungkin Tam seram sejuk mengetahui ada manusia di negara jiran yang menjadikan kucing sebagai santapan harian. Getus hatiku.

“Lihat lihat! Itu! Itu Siti Musliha! Kak Nor! Comel!” Tam menyebut satu per satu nama temannya sambil muncung bermisai menghala ke kaca televisyen. Puluhan ekor kucing dikurung dalam satu sangkar sempit di belakang wartawan siri dokumentari yang sedang membuat ulasan. Masing-masing punya wajah penuh ketakutan bersama ngiauan meminta pertolongan.

Ada redup sayu dalam wajah Tam, memikirkan apakah nasib teman-teman sebangsanya itu. Tentunya berakhir di dalam kuali berisi minyak panas atau berendam dalam sup rempah lalu ke mulut para manusia, ke dalam perut dan akhirnya menjadi najis.

Tidak semena-mena, kedengaran sorakan para kucing dari halaman rumah sebelah. Kami menjenguk melalui tingkap.

“Mari! Ayuh! Siapa mahu mengubah nasib dengan migrasi ke luar negara? Sampai bila mahu hidup melarat di sini? Kucing-kucing di negara lain telah lama maju, anda masih di takuk lama!” Suara Charlie Belang mencemar kesunyian saat waktu kian senja. Stephanie Tompok duduk di sebelah, tersengih menampakkan taring.

Aku dan Tam hanya mampu menghela nafas berat.

Televisyen mengulang siar episod forum politik kebangsaan tempoh hari. Ahli panel berlipstik tebal merah kehitaman dan berambut perang itu petah bicara bagai bertih jagung digoreng.


Pengarang :