AGENSIPENDIDIKANSELANGOR

KUIS: IRSYAD 2019 kembang kajian turath Islam

BANGI, 11 NOV: Kira-kira 100 pembentang dari pelbagai institusi pengajian tinggi berkongsi penyelidikan warisan berzaman di Persidangan Antarabangsa Kajian Islamiyyat ke-5 2019 (IRSYAD), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), pada 5 November lalu.

Dekan Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Dr Md Noor Hussin berkata, persidangan kali ini sebagai platform kepada akademik, penyelidik dan pelaksana mengembangkan hasil dapatan dan kajian turath Islam mereka seiring dengan peredaran semasa bagi mendepani Revolusi Industri 4.0.

Katanya, bertemakan “Melestari Turath Islam Dalam Integrasi Ilmu” menitikberatkan kajian berbentuk warisan zaman berzaman iaitu daripada kitab zaman lampau yang sentiasa relevan dan sesuai dijadikan rujukan zaman berzaman.

“IRSYAD 2019 diteruskan lagi oleh Fakulti Pengajian Peradaban Islam KUIS dan merupakan penganjuran kali yang ke 5 yang bertujuan meningkatkan pembangunan penyelidikan di kalangan pengkaji Islam serta berkongsi hasil dapatan penyelidikan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Pembentangan kali ini berkaitan dengan hasil penyelidikan mereka berkenaan hasil turath Islam oleh Imam Al-Ghazali, Syeikh Sya’rawi, Imam Al-Syakawi dan karya ilmuan Islam lain yang hebat untuk dikaji dan dikembangkan dalam memartabatkan Islam sebagai agama yang membina ketamadunan,” katanya kepada SelangorKini.

Persidangan pada kali ini dirasmikan oleh Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Profesor Dr Azizan Baharudin, dan turut dihadiri Timbalan Rektor Pengurusan Korporat KUIS, Dr Zulkifli Abd Hamid.

Pada majlis yang sama, KUIS turut memetarai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Srikandi Skill College (SSC) yang merupakan anak syarikat Siti Khadijah Holding Sdn Bhd dan Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia (HARMONI).

Dr Mohd Noor berkata, kerjasama dengan SSC adalah untuk melaksanakan program Diploma Rekaan Fesyen Islam yang merupakan julung kalinya di Malaysia manakala dengan HARMONI adalah untuk penganjuran seminar ke arah keharmonian rumahtangga.

Pihak penaja yang terbabit dalam menjayakan persidangan IRSYAD pada kali ini ialah Siti Khadijah, KUISCELL Sdn Bhd, IKRAM, Azzuha Travel & Tours, INHAD KUIS dan Poliklinik An-Nur.


Pengarang :