AGENSISELANGOR

KUIS luas pembangunan fesyen berteras Islam

BANGI, 12 NOV: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) akan memuktamadkan penawaran program Diploma Rekabentuk Fesyen Islam melalui memorandum persefaham (MOU) dengan Srikandi Skill College (SSC).

Pejabat Timbalan Rektor Pengurusan Korporat (Pembangunan & Pengantarabangsaan KUIS), Raja Nor Ashikin Raja Ramli berkata jaringan industri itu bertujuan melahirkan pelajar berkemahiran dan mempunyai asas pengetahuan Islam.

“SSC merupakan anak syarikat Siti Khadijah Holdings Sdn Bhd dalam menghasilkan jahitan rekaan fesyen Islam.

“Dengan memeterai MOU ini, pembangunan fesyen berteraskan Islam dan sumbangan kepakaran, pengalaman serta khidmat dalam bidang akademik dan industri dapat diperluas di institut ini,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam majlis sama, KUIS turut memeterai MOU dengan Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia (HARMONI) dalam usaha mengetengahkan keharmonian rumahtangga menurut Islam.

MoU itu lebih kepada kerjasama dalam penganjuran seminar, konsultasi, khidmat nasihat dan modul rumahtangga harmoni yang boleh dikongsi bersama masyarakat.

Antara program yang berjaya dilaksanakan adalah Seminar Psikologi Komunikasi Bermadu pada 26 Oktober lalu.

Majlis MOU itu dihadiri Timbalan Rektor Pengurusan Korporat KUIS, Dr Zulkifli Abd Hamid dan disaksikan Dekan Fakulti Pengajian Peradaban Islam KUIS, Dr Md Noor Hussin.

SSC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Ir Aminuddin Mohd Nasir sementara HARMONI diwakili presidennya Abdul Syaheed Ismail dan disaksikan Setiausaha Agung Musa Mohd Amin.

Pada masa sama, Raja Norashikin berkata MOU itu menjadi titik tolak kepada perkembangan KUIS dalam meluaskan jaringan bukan hanya dalam bidang akademik semata-mata.

“Ia dapat diperluas dengan jaringan pihak industri yang akan membuka mata pelbagai pihak dengan kesepaduan ilmu Islam syumul itu boleh diaplikasi dalam segenap sudut dan kehidupan seharian,” katanya.


Pengarang :