Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Kumpulan tolak demokrasi berpelembagaan dalam perhatian PDRM

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Kumpulan-kumpulan yang cenderung menyebarkan ideologi pengganas dan menentang pembentukan kerajaan secara demokrasi berpelembagaan kini dalam radar pihak berkuasa.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang mendedahkan perkara itu berkata antara kumpulan yang berada dalam pemerhatian ialah Hizbut Tahrir yang secara terang menolak demokrasi berpelembagaan.

“Ada beberapa kumpulan yang dalam pemerhatian polis kerana mereka ini menolak demokrasi berpelembagaan, namun mereka tidak terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan.

“Jika mereka langkaui garisan keselamatan, tindakan terus akan diambil,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi ahli panel pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan 2019 kali ke-11 (IFCTF 2019) di sini, hari ini.

Beliau berkata kumpulan-kumpulan itu dikesan aktif menyebarkan ideologi melalui media sosial seperti Facebook.

“Ada juga gunakan kaedah lama untuk sampaikan ideologi seperti usrah serta perjumpaan dalam kumpulan kecil,” katanya.

Ayob Khan berkata sejak 2013, sebanyak 25 rancangan pengganas di negara ini berjaya digagalkan.

“Terdapat dua fasa rancangan serangan iaitu fasa satu merupakan peringkat perbincangan manakala fasa dua adalah peringkat di mana mereka telah beli bahan letupan, pistol dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pemberian visa kepada rakyat yang datang dari negara-negara bergolak perlu diperketatkan bagi mengekang kemasukan individu yang terlibat dalam keganasan.

Beliau berkata sejak 2013, seramai 38 pengganas warga asing yang menjadikan negara ini sebagai pusat transit telah ditahan dan diusir.

“Isu negara ini sebagai pusat transit bukanlah sesuatu yang baharu dan polis memantau dari setiap aspek bagi mengekang perkara itu,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :