AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kutipan zakat di Selangor hanya untuk umat Islam

SHAH ALAM, 4 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa kutipan zakat di negeri ini hanya diagihkan kepada lapan golongan asnaf, termasuk asnaf fakir, miskin dan mu’allaf (saudara baru) dari kalangan umat Islam sahaja.

Titah baginda, walaupun agama Islam adalah agama yang menekankan sifat perikemanusiaan namun agihan zakat yang diperolehi daripada umat Islam terutama yang miskin dan memerlukan bantuan terlebih dahulu.

“Seperti yang kita sedia maklum, tanggungjawab membayar zakat adalah merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang wajib dipatuhi oleh setiap umat Islam.

“Berkaitan dengan isu agihan zakat ini, baginda mendapat nasihat daripada Mufti Selangor bahawa agihan zakat kepada bukan Islam dibolehkan hanya sekiranya ianya menjadi penyebab individu terbabit memeluk Islam di bawah asnaf Mu’allafati Qulubuhum,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulitnya.

Baginda bertitah, masih ramai orang Islam yang miskin di luar bandar dan juga miskin bandar yang perlu dibantu menggunakan hasil kutipan zakat.

Titahnya, hal itu kerana di Negeri Selangor, majoriti rakyatnya beragama Islam dan jumlah penduduk Islam semakin bertambah setiap tahun.

“Bagi orang-orang miskin yang bukan beragama Islam adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu dan menolong mereka menerusi jabatan dan agensi yang telah ditetapkan,” titah baginda.

Pada masa sama, baginda juga ingin mengingatkan bahawa fungsi zakat dan cukai pendapatan adalah berbeza.

Justeru, baginda diharap masyarakat dapat memahami dengan jelas tujuan setiap badan itu ditubuhkan.

“Baginda juga mahu isu pengagihan zakat ini tidak lagi diperdebatkan secara terbuka di media massa.

“Baginda juga menyeru agar tiada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan isu berkaitan dengan agama Islam untuk meraih populariti, atau untuk mengambil hati mana-mana pihak tertentu,” titah baginda.

Terdahulu, terdapat laporan akhbar yang tular di media sosial baru-baru ini yang memetik kenyataan dua orang mufti dan seorang ahli politik yang menyentuh tentang agihan wang kutipan zakat kepada orang bukan Islam di negara ini.


Pengarang :