AGENDANASIONAL

Langkah atasi kebakaran terbuka antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Langkah kerajaan mengatasi masalah kebakaran terbuka di ladang dan hutan serta tindakan terhadap pemilik tanah berkenaan menjadi antara persoalan yang dibangkitkan pada Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-21 hari ini.

Mengikut aturan mesyuarat Dewan Rakyat, perkara itu diajukan ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan oleh Wong Hon Wai (PAKATAN-Bukit Bendera) yang bertanyakan tentang senarai insiden kebakaran terbuka yang direkodkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat pada Ogos dan September tahun ini kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Turut menarik, pertanyaan Datuk Seri Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) yang meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan langkah kerajaan untuk memastikan pengguna internet tidak menyalahgunakan isu-isu perkauman dan keagamaan untuk kepentingan politik hingga menjejaskan keharmonian negara.

Selain itu, soalan daripada Khoo Poay Tiong (PAKATAN-Kota Melaka) turut mencuri tumpuan apabila beliau mahukan penjelasan daripada Menteri Kesihatan tentang inisiatif-inisiatif kesihatan yang sedia ada dan yang akan diperkenalkan oleh kerajaan untuk golongan berpendapatan M40.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Disember.

— BERNAMA


Pengarang :